BERHENTI BUAT KERJA SIA-SIA, JANGAN MIMPI MAHIADDIN MAHU BUKA PARLIMEN SEMULA


 Sejak darurat dikuatkuasakan pada Januari lalu yang dengannya Parlimen turut digantung sama, sentiasa saja kedengaran di sana sini desakan demi desakan daripada pelbagai pihak agar Dewan Rakyat dibuka untuk persidangan.

Suatu ketika, desakan itu tambah menjadi bualan apabila Yang Dipertuan Agong sendiri bertitah bahawa Parlimen boleh bersidang ketika tempoh darurat dikuatkuasakan.

Selain PH dan UMNO yang entah sudah berapa kali membuat desakan agar Parlimen dibuka semula, Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Azalina Othman Said pula sudah dua kali bersuara berkaitan hal yang sama.

Selain itu, dengan harapan agar Mahiaddin Md Yasin terbuka hati mendengar desakan untuk membuka Parlimen, DAP malah menjanjikan tidak akan menyokong usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri (jika ada) kiranya sidang Dewan Rakyat dibuka untuk persidangan ketika tempoh darurat.

Walaupun janji DAP itu menggambarkan keinginan yang tinggi untuk melihat Parlimen dibuka semula, tetapi untuk apa Dewan Rakyat dibuka jika selepas itu Mahiaddin kekal lagi sebagai Perdana Menteri?

Berapa lama lagi rakyat Malaysia harus sengsara, derita dan sesak nafas dengan pemerintahan kerajaan PN yang gagal ini?

Sememangnya Parlimen adalah institusi penting dalam negara, terutama apabila berlaku sesuatu krisis dalam negara dan juga dunia.

Dengan Parlimen ditutup oleh Mahiaddin melalui proklamasi darurat, bukan saja suaranya yang mewakili rakyat sudah tiada dalam usaha menangani krisis Covid19, malah juga jadi senyap sunyi dalam isu serangan Israel terhadap Gaza baru-baru ini.

Tetapi, seperti biasa, jangankan ketika Israel menyerang Gaza, malah jika dunia hampir terbalik sekali pun, Mahiaddin tetap dengan sikapnya membisu dan tidak memberi sebarang respon atas semua desakan yang ada itu.

Berdasarkan itu, adalah difahami bahawa beliau sama sekali tidak ingin membenarkan Parlimen dibuka dan tidak akan percaya apa-apa janji berkaitan usul undi tidak percaya.

Sebagaimana darurat dilaksanakan adalah untuk menggantung Parlimen dan Parlimen digantung untuk mengelaklan undi tidak percaya agar beliau mampu bertahan lebih lama di puncak kuasa, percayalah, Mahiaddin tidak akan menoleh ke belakang lagi atas apa yang telah dilakukannya.

Baginya, kejayaan meyakinkan Agong untuk melaksanakan darurat adalah kejayaan mengekalkan kuasa yang tidak akan disia-siakan begitu saja di pertengahan jalan.

Selama mana mampu bertahan melalui darurat dan penggantungan Parlimen, termasuk jika harus menyambung lagi darurat, beliau pasti akan melakukan perkara itu.

Nama untuk mendedahkan dirinya kepada kemungkinan dijatuhkan, tidak mungkin sama sekali.

Dengan yang demikian, kepada mana-mana pihak yang mahu terus bersuara mendesak agar Parlimen dibuka, termasuk PH, UMNO, Azalina atau sesiapa saja, baiklah berhenti daripada melakukan kerja tersebut mulai sekarang.

Tidak usah lagi membuat desakan, permintaan, rayuan, menulis surat, membuat kenyataan media atau apa saja berkaitan pembukaan semula Parlimen, semuanya adalah sia-sia dan hanya ibarat mencurah air ke daun keladi saja.

Bahkan, selain kerja sia-sia, desakan itu juga akan menjadi kerja yang menyakitkan hati kerana Mahiaddin dipercayai akan terus dengan sikap bisu, pekak, tuli serta tidak memberi sebarang respon mengenainya.

Parlimen hanya mungkin ada peluang untuk bersidang semula jika Mahiaddin bukan lagi Perdana Menteri dan ini bermakna beliau haruslah dijatuhkan terlebih dahulu.

Di kepala Mahiaddin hanya ada satu perkara – ingin kekal bertahan selagi mana yang termampu dilakukannya dan ia juga bermakna, selagi beliau Perdana Menteri, selagi itulah Parlimen akan tergantung tanpa fungsi seperti yang ada sekarang.

Lebih-lebih lagi bagi UMNO, sebagai sebahagian daripada kerajaan, tindakan mereka mendesak Parlimen dibuka hanya merupakan suatu lawak jenaka.

Daripada bersuara melalui media sosial, menghantar kenyataan akhbar atau menulis surat kepada Speaker, lebih baik UMNO menarik sokongan mereka dan keluar segera daripada kerajaan.

Bagi Azalina misalnya, daripada asyik menulis surat meminta Parlimen dibuka, lebih baik tulis surat letak jawatan sebagai Timbalan Speaker..

Dengan menarik sokongan, dua kemungkinan akan berlaku iaitu sama ada berlaku pertukaran kerajaan atau Parlimen akan dibubarkan untuk diadakan PRU15.

Yang penting, yang mana pun berlaku, Parlimen pasti akan dibuka dan bebas bersidang selepas itu.

Persoalan utama ketika ini, buat apa lagi UMNO mahu terus berada dalam kerajaan yang mereka ada di dalamnya, tetapi kerajaan itu sendiri yang membuatkan Parlimen dimandulkan? 

(ShahbudinHusin 29/05/2021)