APABILA NASIHAT PEMBANGKANG SEJAK KES SABAH TIDAK DIAMBIL PEDULI.MAKA KINI KERAJAAN LEMBAB BARU EMIKIRKANNYA

 

'Total lockdown' seluruh negara bermula 1 Jun - Perdana Menteri

Faris Danial Razi
'Total lockdown' seluruh negara bermula 1 Jun - Perdana Menteri
Perdana Menteri berkata sepanjang tempoh ini semua sektor tidak dibenarkan untuk beroperasi kecuali sektor ekonomi dan perkhidmatan perlu (essential economic and service sector). - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Kerajaan memutuskan untuk melaksanakan penutupan penuh sektor sosial dan ekonomi ataupun ‘total lockdown’ Fasa Pertama di seluruh negara bagi tempoh 14 hari bermula 1 hingga 14 Jun 2021.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, dalam satu kenyataan malam ini, berkata sepanjang tempoh ini semua sektor tidak dibenarkan untuk beroperasi kecuali sektor ekonomi dan perkhidmatan perlu (essential economic and service sector) yang akan disenaraikan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).
Katanya, keputusan ini dibuat selepas mengambil kira situasi terkini penularan COVID-19 di Malaysia dengan jumlah kes harian telah melebihi 8,000 kes dan kes aktif melebihi 70,000 kes.
Setakat hari ini, seramai 2,552 orang telah meninggal dunia akibat wabak ini dan jumlah kematian semakin meningkat, katanya.
"Kewujudan varian-varian baharu yang lebih ganas dengan kadar kebolehjangkitan yang tinggi dan pantas juga turut mempengaruhi keputusan hari ini.
Dengan peningkatan kes-kes harian yang menunjukkan trend kenaikan secara lebih mendadak sejak mutakhir ini, kapasiti hospital di seluruh negara untuk merawat pesakit COVID-19 juga semakin terhad.
[TERKINI] Sidang MKN membuat keputusan 'Total Lockdown'™
"Sekiranya lockdown Fasa Pertama ini berjaya mengurangkan kes-kes harian COVID-19, kerajaan akan melaksanakan lockdown Fasa Kedua, iaitu dengan membenarkan pembukaan semula beberapa sektor ekonomi yang tidak melibatkan perhimpunan yang besar serta boleh mematuhi penjarakan fizikal.
"Lockdown Fasa Kedua ini akan dilaksanakan untuk tempoh empat minggu selepas Fasa Pertama berakhir," katanya dalam kenyataan dikeluarkan Pejabat Perdana Menteri itu.
Katanya, setelah berakhirnya lockdown Fasa Kedua, langkah seterusnya ialah memasuki Fasa Ketiga, iaitu melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) seperti yang berkuat kuasa pada masa ini di mana aktiviti sosial tidak dibenarkan dan hampir semua sektor ekonomi dibenarkan beroperasi tertakluk kepada SOP yang ketat serta kehadiran secara fizikal di tempat kerja yang dihadkan.
Walau bagaimanapun, katanya keputusan untuk beralih dari satu fasa ke fasa yang berikutnya akan tertakluk kepada penilaian risiko oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
"Penilaian akan dibuat berdasarkan perkembangan kes-kes harian semasa dan kapasiti hospital di seluruh negara untuk merawat pesakit COVID-19.
"Kerajaan akan memastikan sistem kesihatan awam di negara kita tidak akan runtuh dan pelbagai sokongan dan bantuan akan diberikan kepada KKM untuk meningkatkan kapasiti hospital di seluruh negara.
"Kerajaan juga akan meningkatkan jumlah pemberian vaksin dalam tempoh beberapa minggu akan datang dalam usaha untuk menghasilkan imuniti kelompok di negara ini," katanya.
Beliau berkata, susulan keputusan kerajaan untuk melaksanakan penutupan penuh sektor ekonomi dan sosial, Kementerian Kewangan akan memperincikan pakej bantuan kepada rakyat dan sektor ekonomi yang terkesan.
"Pengumuman mengenai pakej bantuan ini akan dibuat dalam masa terdekat," katanya.
Beliau berkata, semua rakyat Malaysia dinasihatkan untuk terus berdisiplin dan sentiasa mematuhi SOP yang ditetapkan bagi memutuskan rantaian jangkitan COVID-19.
"Yang terbaik ialah duduk di rumah atau stay at home untuk bersama-sama melandaikan lengkuk jangkitan COVID-19," katanya.