Kepimpinan Anwar Ibrahim wajar dipertahankan - Shamsul Iskandar



Ketua Penerangan KEADILAN, Datuk Seri Shamsul Iskandar Md Akin meminta ahli-ahli parti supaya menjadi benteng bagi mempertahankan kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan perjuangan yang dibawanya selama ini.

Beliau berkata perkara itu harus dipertahankan kerana Presiden KEADILAN merupakan individu yang mencetuskan gerakan reformasi di negara ini.

"Sepanjang 22 bulan banyak yang kita belajar, banyak yang kita lalui dan ini semua adalah proses pendewasaan.

"Jadi saya minta kita mesti jadi benteng untuk mempertahankan Anwar Ibrahim, ini kerana terdapat sebahagian kumpulan kecil yang cuba memperolokkan kepimpinan beliau.

"Kita isytihar perang kepada kelompok yang merendah-rendahkan kepimpinan beliau. Kita kena ingat, beliau adalah pencetus semangat reformasi dan keadilan.

"Nyahkan, persetankan nyamuk bising di telinga kita, fokus jadi benteng pertahankan beliau," katanya dalam Majlis Makan Malam Mantan AMK Malaysia 2020 anjuran Pertubuhan Generasi Keadilan.

Pada masa sama, Shamsul selaku bekas ketua AMK memberikan nasihat kepada bekas ahli-ahli AMK supaya menjadi penyuluh kepada AMK generasi baharu.

"Sekarang ini berbeza daripada masa kita mula bergerak dulu, kita perlukan sokongan semua terutamanya rakan yang telah lama berjuang untuk memimpin supaya pimpinan baru terus menghayati semangat dan idealisme perjuangan sendiri.

"Mungkin ada yang tak dapat hayati sepenuhnya soal reform tapi saya yakin ramai yang telah pun memahami apa yang perlu dilakukan ke arah perubahan.

"Bagi sesetengah pihak, politik hanyalah mengenai kekuasaan, tetapi dalam KEADILAN tidak ada istilah tamak kuasa, mereka yang tamak sudah keluar dari parti, mereka yang ada sekarang ini betul-betul menghayati perjuangan," katanya.

 

No comments: