Pengerusi Pakatan Harapan Datuk Seri Anwar Ibrahim dilihat mempunyai kelebihan dalam menjadi peneraju utama dalam Grand Coalition, demikian menurut AJK AMANAH Dr Muhaimin Sulam.
Beliau juga tidak terfikir Grand Coalition adalah langkah untuk menyingkirkan ikon reformasi itu.
“Sangat dangkal pemikiran yang terlalu obses terhadap jaminan kedudukan Anwar Ibrahim sebagai peneraju,” katanya dalam satu kenyataan.
Katanya, selepas pakatan pembangkang gagal dalam perbahasan Belanjawan 2021, AMANAH mula meneroka jalur politik dalam memastikan potensi sedia ada tidak disiakan begitu sahaja.
Tambahnya, blok pembangkang yang mempunyai kekuatan sebanyak 108 adalah satu angka yang sangat kukuh dan ‘real’.
“Ia bukan ilusi atau jangkaan,” katanya.
Beliau berkata, kesetiakawanan AMANAH dengan Pakatan Harapan sejak sekian lama begitu juga dengan PKR dan DAP.
Justeru, katanya pihak yang mencurigai pendekata politik AMANAH seharusnya mencerminkan diri terlebih dahulu.
“Kalau kail sejengkal, laut dalam jangan diduga!
“Tidak perlu curiga berlebih-lebihan dalam berkawan. Saya yakin pemimpin setiap parti memiliki pandangan yang melangkaui kepentingan sendiri demi meletakkan kepentingan negara dan rakyat.
“Pemimpin yang wibawa tidak akan menuntut kedudukan buat dirinya sendiri. Pemimpin perlu membina keyakinan dengan kualiti kepimpinan yang tinggi. Grand coalition diketuai ‘grand leadership’,” kata beliau.
Isu Grand Coalition menjadi perdebatan hangat dalam kalangan perwakilan di Konvensyen Tahunan AMANAH Nasional 2020 kali ke-5 semalam.
Para perwakilan menggesa kepimpinan parti itu membuat pertimbangan sebaiknya berhubung cadangan menubuhkan gabungan tersebut yang pastinya akan melibatkan dua tokoh sedang berselisih iaitu Tun Dr Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Anwar Ibrahim.