MB Selangor akui ada sabotaj, laksana projek bekalan air jangka panjang

 

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari mengakui ada pihak yang mensabotaj bekalan air bersih sehingga berlaku pencemaran di negeri itu sejak beberapa bulan kebelakangan ini.

Beliau berkata krisis bekalan air bersih di Selangor itu kerap kali berlaku kerana ia tidak diselesaikan sepenuhnya ketika kerajaan dipimpin oleh Khalid Ibrahim dan Azmin Ali.

"Masa zaman Khalid, Selangor berdepan masalah kurang air mentah iaitu off-river storage, ada air hujan lebih disimpan dalam kolam takungan besar, ia akan dimasukkan ke dalam sungai kalau tak cukup air.

"Zaman Azmin pula ada dua masalah iaitu loji rawatan tak cukup kapasiti dan masalah pencemaran.

"Sekarang berlaku kerap kerana pelbagai sebab, kes terbaru ialah kolam ikan keli dan satu lagi premis di Rawang ada 40 tong produk kimia yang belum dilepaskan dan akan dilepaskan masa depan, nampak sangat ada unsur sengaja untuk buang sisa, atau memang bodoh buang dalam loji rawatan yang kemudian akan cemarkan air," katanya.

Justeru, Amirudin mendedahkan bahawa kerajaan negeri akan melaksanakan satu projek bermula Januari 2021 bagi membolehkan rakyat Selangor terus menikmati bekalan air bersih meskipun berlaku pencemaran.

"Ini projek 12 bulan, dalam belanjawan saya dah umumkan peruntukan RM 200 juta, kita akan mula tender dan insya-Allah selesai bulan Januari 2022.

"Selangor ada dua lembah sungai yang penting iaitu Sg. Langat dan Sg. Selangor, dan air itu boleh diambil dari off-river storage. Kalau ada pencemaran berlaku sekalipun, kita masih boleh bertahan 5 ke 6 hari untuk kegunaan dan tidak putus bekalan air," katanya.

 

No comments: