Kartel daging: Kerajaan Selangor tubuh jawatankuasa khas sejak Oktober


Isu kartel daging tidak halal dibungkus semula dan dilabel halal mendapat perhatian khusus dari Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).

Menurut Exco Hal Ehwal Agama Islam, Hal Ehwal Pengguna dan Industri Halal, Mohd Zawawi Mughni, JAIS melalui Bahagian Pengurusan Halal telah pun menubuhkan jawatankuasa khas sejak Oktober lalu menangani isu tersebut.

"Walaupun kes-kes tangkapan dan pembongkaran tidak berlaku di negeri Selangor namun tiada jaminan stok daging tidak sampai dan tidak dipasarkan di negeri ini secara haram.

"Kerajaan Negeri menyeru rakyat Selangor supaya bertenang, kerana Bahagian Pengurusan Halal JAIS telah bekerjasama erat dengan beberapa jabatan dan agensi penguatkuasaan Persekutuan bagi memantau rapat dan menangani isu ini. Sebuah jawatankuasa khas juga telah ditubuhkan untuk menangani isu itu sejak Oktober lalu," katanya dalam satu kenyataan.

Sehubungan itu, kata Zawawi, Kerajaan Negeri menggalakkan khalayak pengguna di Selangor untuk lebih prihatin ketika mahu membeli sesuatu produk dan mendapatkan pengesahan status halal melalui telefon pintar masing-masing daripada badan yang telah mengeluarkan Sijil Pengesahan Halal, jika meragui kesahihan tanda halal produk terbabit.

"Di samping mendapatkan kepastian untuk diri sendiri mereka juga boleh menjadi mata telinga kepada kerajaan dalam menangani isu ini dengan melaporkan produk-produk yang menggunakan tanda halal palsu.

"Tindakan prihatin seperti ini merupakan satu fardhu kifayah yang perlu dipikul bersama oleh rakyat dan kerajaan," katanya.

Zawawi turut mengingatkan supaya rakyat tidak menyebar berita-berita yang belum disahkan benar sehingga boleh menambahkan kegusaran dan mengganggu emosi masyarakat.

Katanya, untuk pelan jangka panjuang, Kerajaan Negeri akan berusaha meningkatkan pengeluaran produk daging tempatan yang tidak diragui status halalnya serta meningkatkan kesedaran pengguna tentang kepentingan aspek halal dalam setiap keperluan seharian pengguna Islam secara umum.



No comments: