G
Peruntukan elaun guru takmir bagi seluruh negara pada tahun ini
adalah mencukupi sehingga Disember 2020.
Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jabatan Kemajuan Islam
Malaysia (Jakim), Datuk Abdul Aziz Jusoh dalam kenyataannya berkata, pihaknya
berpandangan arahan yang dikeluarkan oleh Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat
Melayu Kelantan (MAIK) yang bertarikh 8 Oktober adalah berdasarkan prosedur
kewangan negeri berkenaan.
“Jakim ingin menegaskan bahawa kerajaan sentiasa menjaga
kebajikan para murabbi ummah yang banyak membantu pembangunan insan di negara
ini seperti guru takmir dan guru Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA).
“Ia terbukti melalui arahan yang dikeluarkan oleh Menteri di
Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Seri Dr Zulkifli
Mohamad Al-Bakri pada Mac lalu supaya elaun guru takmir dan guru KAFA dibayar
penuh sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sama ada kelas
pengajian dilaksanakan atau sebaliknya.
“Justeru, Jakim sekali lagi pada Isnin lalu telah mengeluarkan
surat pekeliling kepada negeri-negeri mengenai permakluman pembayaran elaun
guru takmir,” katanya.
Terdahulu tular sepucuk surat MAIK yang memaklumkan bayaran
tuntutan elaun mengajar bagi kelas pengajian takmir adalah sehingga November
sahaja.
Surat yang ditandatangani oleh Timbalan Yang Dipertua MAIK,
Zulkifle Ab Rahman itu turut menyatakan bahawa keputusan itu dibuat berdasarkan
peruntukan yang disalurkan Jakim.
Sehubungan itu katanya, pihak Maik tidak menghalang kelas
pengajian diadakan pada Disember, namun elaun mengajar tidak boleh dituntut.
Surat berkenaan telah menimbulkan polemik dan dibahaskan oleh rakyat
di media sosial.