Perutusan Anwar Ibrahim sempena Maulidur Rasul

 





Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan Maulidur Rasul hari ini sebagai hari sambutan yang amat bermakna buat umat Islam di seluruh dunia.

 

Presiden KEADILAN dalam perutusannya berkata, Maulidur Rasul bukan sekadar sambutan tahunan semata-mata, tetapi menjadi satu peringatan untuk memantapkan lagi keimanan dan akidah diri.

 

"Sirah dan susur galur perjuangan Baginda menjadi sangat penting untuk difahami dan ditelaah agar hari keputeraan Baginda itu tidak hanya terbatas pada soal seremonial atau sekadar suatu sambutan tahunan, tetapi ia mesti dimaknai dengan penuh tawadhuk dan keimanan yang mendalam.

 

"Akhlak mulia dan falsafah besar yang dibawa Rasulullah SAW wajar dijadikan panutan dan teladan buat umat manusia. Peringatan Maulud seharusnya menggugah nurani kita untuk sentiasa waspada akan tahap iman dan akidah yang mesti mantap dan teguh.

 

"Allah SWT berfirman dalam Surah al Ahzab (ayat 21): “Sungguh, telah ada pada (diri) Rasulullah itu suri teladan yang baik bagimu (yaitu) bagi orang yang mengharap (rahmat) Allah dan (kedatangan) hari Kiamat dan yang banyak mengingat Allah."

 

Anwar juga berpandangan bahawa umat Islam mesti memahami dan menhayati dengan mendalam bahawa sosok Rasulullah adalah sosok perubahan dan menganggap misi baginda ialah misi transformatif yang sentiasa mengembleng umat untuk menuntut keadilan dan perubahan.

 

"Risalah pembaharuan tersebut juga bermaksud sentiasa teguh menentang segala bentuk kebobrokan, tegas melawan kezaliman dan memperkukuh benteng akidah," katanya.

 

Anwar juga berharap umat Islam dapat menjadikan sambutan Maulidur Rasul kali ini sebagai satu pemangkin semangat dalam menempuh wabak COVID-19 yang dihadapi dunia ketika ini.

 

"Saat umat masih dirundung dengan petaka wabak, hari besar umat Islam ini wajar dijadikan lonjakan spiritual dan semangat buat semua agar tidak berputus asa dan terus kuat semangat. Semoga kita diberi kekuatan dan ketabahan dalam menempuh musibah ini.

 

"Selamat menyambut Maulidur Rasul 1442H kepada seluruh umat Islam," katanya.