Perbahasan Belanjawan 2021 perlu
dilakukan secara matang dan bebas di Dewan Rakyat.
Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan
Abdul Karim berkata, institusi Parlimen perlu dibenar memainkan peranan semak
dan imbang kepada kerajaan semasa, terutama dalam isu meluluskan belanjawan
yang melibatkan ratusan bilion ringgit wang rakyat.
"Malaysia sebuah negara
demokrasi berparlimen yang mengguna pakai prinsip pengasingan kuasa. Oleh itu
semua pihak dan institusi perlu menghormati Parlimen dengan menyediakan keadaan
yang kondusif bagi membolehkan Ahli-ahli Parlimen bebas menentukan pendirian
dan membuat keputusan.
"Dalam hal ehwal kewangan
negara, peranan Parlimen amat besar. Perkara 96 Perlembagaan Persekutuan
menyebut bahawa tiada percukaian melainkan jika dibenarkan oleh undang-undang.
Manakala Perkara 102 pula menyatakan bahawa Parlimen mempunyai kuasa berkenaan
dengan mana-mana tahun kewangan.
"Hal-hal berkenaan rang
undang-undang melibatkan kewangan negara adalah dalam bidang kuasa
Parlimen.Tidak ada sesiapa boleh mengarah, atau memujuk Ahli-ahli Parlimen
supaya menyokong dan meluluskan sesuatu rang undang-undang belanjawan negara,
termasuklah Belanjawan Tahun 2021 yang akan dibentangkan pada 6 November
nanti," katanya dalam satu kenyataan.
Menurut Hassan, tidak ada proses
kelulusan segera dalam perbahasan. Belanjawan 2021 katanya, akan dipecahkan
kepada peruntukan mengikut kementerian. Semuanya perlu dibahas satu demi satu.
Seandainya terdapat isu-isu yang
meragukan, Pembangkang akan menyoal pihak kerajaan dan tidak mustahil rang
undang-undang tersebut tidak diluluskan.
"Rang undang-undang belanjawan
tahun 2021 seperti belanjawan sebelum ini perlu melalui proses penggubalan
undang -undang yang diperuntukkan di bawah Perlembagaan Persekutuan dan
undang-undang berkaitan kewangan yang sedia ada.
"Rang undang-undang itu perlu
dibahaskan di peringkat dasar dan jawatankuasa. Proses pengundian juga perlu
dilakukan di peringkat dasar dan juga peringkat jawatankuasa.
"Tidak ada proses fast track
ataupun jalan pintas. Duit beratus bilion ringgit dalam belanjawan adalah duit
pembayar cukai dan duit hasil negara milik rakyat serta milik negara,"
katanya lagi.
Perdebatan timbul sejak titah Yang
di-Partuan Agong mahu Belanjawan 2021 diluluskan. Terdapat pihak mencadangkan
belanjawan perlu disokong tanpa bantahan.
Namun Pembangkang memberi isyarat hal
itu hanya boleh dilakukan sekiranya pihak kerajaan merundingkan peruntukan
belanjawan sebelum dibentangkan.
Sebaliknya, jika kerajaan tidak merundingkan isi kandungan dan
mahu ia diluluskan secara fast track maka hal itu dianggap mencabul fungsi Parlimen.