KEADILAN menjunjung kasih dan
menghayati titah nasihat Yang di-Pertuan Agong yang mahu kebajikan rakyat
diutamakan dalam Belanjawan 2021 yang akan dibentang di Parlimen bulan
depan.
Setiausaha Agung KEADILAN,
Saifuddin Nasution Ismail berkata titah nasihat Agong itu amat wajar dihayati
dan diteliti bagi memastikan setiap peruntukan dalam bajet benar-benar
disalurkan kepada rakyat.
“Titah nasihat yang datang dari
istana merupakan nasihat yang datang daripada raja yang bijaksana. Itu mesti
dihayati.
“Dalam konteks ahli parlimen,
cara menghayatinya ialah dengan meneliti setiap patah perkataan, setiap
angka... dari mana duit datang, dari mana hasil, ke mana dibelanjakan, dan
kemudian membuat keputusan dalam institusi parlimen, kerana setiap sen adalah
duit rakyat,” katanya seperti dilaporkan Malaysiakini.
Beliau berkata demikian bagi
mengulas pendirian KEADILAN dalam mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan
(PH) yang dijadual berlangsung hari ini.
Bagaimanapun, Saifuddin berkata
KEADILAN dan PH tidak akan menyokong Belanjawan 2021 secara membabi-buta,
sebaliknya akan dibahaskan terlebih dahulu.
“Naluri kemanusiaan pun, kita
ada sifat, sebelum bersetuju atau tidak bersetuju, sokong atau tolak, kita
hendaklah tahu dulu satu-satu perkara.
“Dari sudut tanggungjawab
sebagai ahli parlimen pun, kita kena tahu isi kandungan sesuatu belanjawan.
Sebab kita akan berbahas.
“Belanjawan ini melibatkan
polisi dan angka. Dia melibatkan maklumat pendapatan dan perbelanjaan negara.
Yang kita nak belanjakan ini wang rakyat,” katanya lagi.