Anwar selar tindakan Presiden Perancis hina Islam

 




Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan kenyataan Presiden Perancis, Emmanuel Macron bahawa Islam sedang menghadapi krisis di seluruh dunia adalah satu penghinaan dan tidak masuk akal.

 

Malah, Presiden KEADILAN itu menganggap Macron sengaja menyalahkan Islam sebagai punca segala masalah di negaranya, berbanding melihat semula perspektif yang merosakkan tertanam dalam doktrin sekularisme Perancis.

 

"Tidak ada yang akan membela keganasan dan pembunuhan berdarah, serta mereka yang memesongkan Islam. Macron sendiri, kadang-kadang, sedar betapa rumitnya isu ini.

 

"Ini adalah kejahatan yang menimpa umat Islam dan Dunia Islam lebih dari sekadar tragedi yang menimpa Perancis. Saya bersimpati di atas kematian Samuel Paty sama seperti mereka yang terkorban dengan cara ini," katanya.

 

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Macron yang mengkritik Islam selepas seorang guru sejarah dan geografi, Samuel Paty dipenggal kepala oleh pengganas ekoran tindakan guru itu menunjukkan karikatur mempersenda Nabi Muhammad di hadapan murid-murid dalam kelasnya.