Perdamaian Umno untuk bubar Parlimen lepas Covid 19?
Tindakan Umno yang menyarankan agar kerajaan melaksanakan agenda perdamaian nasional bukanlah untuk memerangi Covid-19, sebaliknya dijadikan sebagai topeng mengaburi niat mereka yang mahu membubarkan Parlimen.
Naib Presiden AMANAH, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa berkata, biarpun Umno tahu Pilihan Raya Umum (PRU) tidak relevan buat masa ini, tetapi mereka memerlukan ruang selesa untuk bersedia ke arah itu.
Beliau turut memetik kenyataan Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang menyeru agar kerajaan menggembleng penyertaan semua parti politik termasuk pembangkang, namun parti itu tegas menolak kerjasama dengan PKR dan DAP.
Menurut Mujahid yang juga Ahli Parlimen Parit Buntar, Umno masih berpolitik dengan cara yang berbahaya kepada asas demokrasi sekiranya perdamaian nasional sifatnya bersyarat.
“Saya kira tumpuan Umno bukan tumpu lawan Covid-19 atau ajakan kepada perdamaian nasional, tetapi adalah untuk bubar Parlimen dan bersedia untuk PRU.
“Jika benar apa yang saya katakan, maka jelaslah ini politiking makam tertinggi yang Umno sedang mainkan dengan menggunakan dua alasan itu sebagai topeng.
“Apakah pakej rekonsiliasi ada syaratnya? Jika perdamaian nasional yang dimaksudkan tanpa PKR dan DAP, adakah ini bermaksud kemenangan Pakatan Harapan (PH) secara bermandat mahu dinafikan?” soalnya dalam satu kenyataan hari ini.
Semalam, Ahmad Zahid mencadangkan supaya kerajaan Perikatan Nasional (PN) mengambil pendekatan melangkaui perbezaan ideologi parti dalam menangani pandemik Covid-19.
Beliau menyarankan supaya inisiatif Rekonsilisasi Nasional atau Agenda Perdamaian Nasional segera dilaksanakan dengan menggembleng penyertaan semua parti politik bernaung dalam kerajaan dan juga parti-parti pembangkang.
Bagaimanapun beliau memberitahu, Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno tegas mengekalkan keputusan terdahulu yang tidak mahu kerjasama antara PKR dan DAP.
Justeru Mujahid menyifatkan, mentaliti super ego Umno terhadap Anwar Ibrahim dan DAP masih tidak berubah biarpun parti itu tahu kerajaan PN tertegak atas pembelotan mandat rakyat.
Malah katanya, mentaliti Umno masih tidak dapat menerima realiti keputusan demokrasi yang dimenangi oleh PH.
Bahkan katanya, walau apa pun pandangan politik terhadap DAP, parti itu adalah entiti yang sah dan telah membuktikan keabsahannya dengan memerintah sebuah negeri.
Beliau bertanya, adakah Umno tidak menghormati keputusan rakyat yang memberikan kepercayaan kepada DAP yang membentuk kerusi besar dalam PH sebagai kerajaan pra pembelotan Sheraton.
“Jika perdamaian nasional bersyarat maka Umno masih berpolitik dengan cara yang sangat merbahaya kepada asas demokrasi.
“Umno akan tersisih bersama pembelotan yang dilakukan oleh Muhyiddin dan konco-konconya jika terlalu membawa ego ethno-centrictnya (ego perkauman),” tegas Mujahid lagi.