HADI PUN LUPA #HUDUD TERINGATKAN #ROYALTI
SAYA menanti-nanti
giliran wakil Marang (Abdul Hadi Awang - Pas) membahas pembentangan kajian
separuh penggal Rancangan Malaysia ke-11. Apa yang saya tunggu bukan ulangan
kepada isu yang sudah dibangkitkan oleh beberapa wakil pembangkang lain,
khasnya daripada Pas, yakitu mengenai tuntutan dan tagihan royalti Petroleum
untuk negeri Terengganu dan Kelantan.
Cukuplah wakil-wakil
pembangkang lain yang menyebutnya kerana tagihan wang roytalti itu bagi saya
adalah kebendaan (materialis) belaka. Ada perkara lebih penting yang dinantikan
akan dibentang atau pun dibangkitkan oleh Hadi Awang sebagai presiden parti
agama (Pas).
Perkara itu ialah
berhubung cita-cita lama Pas untuk melaksanakan hukum Hudud atau pun
memperkasakan mahkamah syariah di negara ini.
Isu RUU 355 bagi
meminda Enakmen Agama Islam bagi memberi kuasa lebih luas kepada Mahkamah
Syariah, tampaknya tidak disebut langsung oleh Hadi Awang. Begitu juga
perkataan Hudud, yang telah menjadi bertih dimulut orang Pas selama ini juga
tidak disebut. Selama ini selepas Allah, Rasul, Hadi Awang maka Hududlah yang
sering bergantungan dimulut orang Pas.
Sebaliknya Hadi ada
menyebut perkataan #Royalti. Jika tidak salah pengamatan saya dalam masa
22 minit beliau berbahas, sebanyak dua atau tiga tiga kali disebut royalti,
hanya sekali perkataan semiripnya “ta'zir” disebut. Hadi mahukan hukuman ta'zir
dipraktikan kepada pesalah rasuah kerana ia lebih berkesan daripada hukuman
denda atau penjara.
Kenapa berlaku itu,
melupai Hudud melautkan RUU 355? Apakah Hadi sudah menyedari dan baru berpijak
dibumi nyata yang bahawa wang lebih penting daripada rektorik politik. Retorik
dan impian tidak boleh membangun negeri. Jika soal Hudud atau desakan untuk
membentangkan RUU 355 yang pernah dibawa sebelum ini sesuatu yang tulen dan
merupakah hakikat agama, kenapa ia ditinggalkan dalam perbahasan kali ini?
Kalau ia hakikat agama tentu Hadi tidak terlali mengenai perkara itu.
Jika ia hakikat tidak
patut Hadi melupai agenda penting itu kerana bila meninggalkan ia boleh dikira
berdosa. Bukankah sebelum ini para pemimpin Pas meluang-laungkan usaha
menegakkan Hudud adalah usaha wajib bagi mengesahkan seseorang itu akan ke
syurga dan yang menentangnya akan ke neraka.
Semasa sebelum dan
sepanjang kempen PRU lalu, isu atau tajuk RUU 355 ini, ada setengah penceramah
Pas mendakwa (takfiri) mereka yang menolak RUU 355 adalah menolak Islam. RUU
355 bagi sesetengah orang Pas sudah dianggap sebagai rukun Imam yang ke tujuh.
Bukan itu sahaja Pas berkolaborasi dengan Umno mengadakan himpunan di Padang
Merbok. Ke mana lenyapnya spirit himpunan berkenaan, apakah ia ditimbus oleh
janji Dr Mahathir hendak bagi royalti minyak.
Apakah dengan melupai
keperluan untuk membawa RUU 355 dalam perbahasan dalam sidang yang berlangsung
kini boleh disifat Hadi sudah mengabaikan agama dan mengulangi tuntutan
royaliti itu sebagai berubah rasa dari agama kepada duit pula?
Atau pun soal Hudud
itu boleh diketepikan kerana soal royalti lebih penting. Mesti ada fatwa baharu
yang dikeluar dan diterima pakai oleh Pas. Sebab saya perhatikan semua wakil
Pas yang mengambil perbahasan pembentangan kajian separuh penggal RM -11 tidak
bernafsu lagi mengenai Hudud dan RUU 355.
Sebagai seorang
pemimpin yang 'concern' dengan Islam (Hudud) Abdul Hadi sepatutnya tidak lupa
untuk mendesak kerajaan untuk membawa usul RUU 355. Sepatutnya inilah masanya
Hadi dan Pas untuk menguji sejauh mana komitmen menteri agama sekarang ini
mengenai agenda itu. Beliau patut menggesakan kerajaan, memohon kepada kerajaan
khasnya Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mujahid Yusuff mengambil
tanggungjawab membawa usul berkenaan. Inilah ujian untuk Mujahid.
Kita mahu juga
mendengar apakah jawapan Mujahid berkenaan usul berkenaan. Apabila usul RUU 355
dan hukum hudud tidak dibangkitkan, bermakna terlepas dan selamatlah Mujahid
untuk menjawab dan mengulas dan bersilat mengenai perkara itu.
Apa yang saya boleh
dismpulkan apabila Hadi melupai isu berkenaan, bahawa jelas Hudud dan RUU 355
itu hanya modal politik semata. Retorik. Ia membenarkan apa yang kita katakan
sebelum ini bahawa Hudud hanya dijadikan mainan politik Pas sahaja. Apabila
hampir dengan pilihan raya, maka Hudud dibangkitkan dengan rancak dan
berkobar-kobar. Ia jadi seperti ombak di lautan China Selatan yang melambung
tinggi waktu musim tengkujuh, tetapi hilang di selepas angin monsun berhenti
bertiup.
Cukuplah bagi Pas
bermain dengan isu klise Hudud dan RUU 355. Eloklah kalau Pas dan Hadi sedar
bahawa kebendaan dan wang royalti itu lebih bermanfaat daripada rancangan
hendak melaksanakan Hudud di Terengganu atau Kelantan. Hudud dan RUU 355 itu
hanya sedap didengar tetapi ia tidak semanis mengecapi wang royalti.
Sehubungan itu, masa
masih ada untuk Pas memperbetulkan kekhilafan langkah politiknya selama ini.
Tindakan Pas menyerang pemimpin PH khasnya daripada parti Amanah kebanyakan
rakannya satu kesilapan besar. Ia tidak sesuatu yang bijak. Bergaduh dengan
kawan yang kita anggap kawan yang ada wang, tidak bijak. Ayuh sambung lah silaturahim.
Sekiranya Pas
awal-awal lagi menghulurkan tangan kepada kerajaan PH, mungkin soal royalti
tidak menjadi masalah lagi. Mungkin kini Terengganu dan Kelantan sudah menerima
royalti petroleum itu seperti apa diterima Sabah dan Sarawak. Dan sekiranya Pas
bijak politik lebih awal sebelum ini, bersama PH, bukan sahaja para pemimpin
Pas berada dalam kabinet Dr Mahathir kini, tetapi tidak mustahil juga Abdul
Hadi telah pun menjadi Timbalan Perdana Menteri.
Berhentilah dan
cukuplah. Tidak ada untung bagi Pas untuk terus berkonfrontasi dan bersikap
keras ken.
Akhir-akhir ini
walaupun Pas sudah nampak lunak dengan Dr Mahathir, memujinya, tetapi ia tetap
mengeras "barang dari dalam jubah" dengan Anwar. Pas terus berkeras
barang dengan Anwar. Apabila Pas meletakkan calon di PRK Port Dickson, itu
bermakna Pas tidak mahu memberi laluan kepada Anwar sebagai PM ke 8 yang sudah
dikonsensuskan oleh PH. Tindakan bermusuh dengan Anwar dan menolaknya
menjadikan Pas akan mengalami kebodohan dua kali.
Pas akan melepaskan
perahu untuk menyeberang sungai dan ia juga akan meninggalkan kapal untuk
belayar merentas samudera luas.
Kerana kebebalan dan
politik keras "ken" dan sikap politik ikan keli dalam besen,
menyebabkan peluang itu terlepas begitu sahaja. Pas dan Hadi Awang sudah kerap
kali jadi sang Lebai Malang, ke hulu terlepas ke hilir terlepas...
MSO