Kerajaan digesa untuk
memanjangkan lagi tempoh moratorium bank memandangkan rakyat masih terkesan
dengan keadaan ekonomi yang belum pulih sepenuhnya.
Ketua Angkatan Muda KEADILAN
Malaysia, Akmal Nasir berkata sebilangan besar rakyat masih terbeban dengan
masalah kewangan dan tanggungan lain selain berdepan dengan risiko jangkitan
Covid-19.
"Lanjutan tiga bulan lagi
moratorium bakal membantu 7.7 juta peminjam dan 245,000 perusahaan kecil dan
sederhana (PKS).
"Sekiranya kerajaan gagal
berbuat demikian, pakej rangsangan ekonomi Prihatin tidak akan berkesan dan
tidak berupaya membantu rakyat bawahan yang terkesan dengan pandemik Covid-19
yang tidak berkesudahan," katanya.
Akmal yang juga Ahli Parlimen
Johor Bahru turut meminta kerajaan Perikatan Nasional (PN) supaya menghentikan
seketika kemelut politik dan memberikan fokus utama kepada keperluan rakyat.
"Diharapkan kerajaan
berhenti bermain politik dan dapat mengambil langkah proaktif dengan segera
dengan program ekonomi yang lebih fleksibel dalam menangani situasi semasa
ekonomi yang tidak menentu," katanya.