PRN Sabah: Saifuddin lupakah calon PH bertanding tiket PKR?
Logik Menteri Komunikasi dan Multimedia, Saifuddin Abdullah berkata situasi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah kelmarin dan Pakatan Harapan (PH) yang memenangi Pilihan Raya Umum (PRU) ke 14 lalu serupa, kelihatan lucu.
Pengarah Komunikasi KEADILAN Fahmi Fadzil menolak andaian mudah Saifuddin itu.
Fahmi mempertikaikan seolah-olah Saifuddin bukan merupakan anggota PH ketika PRU 9 Mei 2018 kerana beliau sepatutnya sedar semua calon ketika itu bertanding menggunakan logo KEADILAN. Iaitu sebuah parti yang berdaftar dan diiktiraf Suruhanjaya Pilihan Raya.
Sedangkan situasi sekarang, GRS adalah parti yang tidak berdaftar dan tidak boleh dikira sebagai satu entiti sah yang boleh mencalonkan nama Ketua Menteri Sabah
“Tidak betul logik hujah Datuk Saifuddin Abdullah.
“Pada PRU14, semua parti dalam PH bertanding menggunakan logo KEADILAN, dan menang 113 kerusi iaitu lebih daripada majoriti yang diperlukan.
“Tapi pada PRN Sabah, GRS melibatkan tiga logo (yakni tiga parti) berbeza: PN, BN dan PBS, dan mereka masing-masing menang seperti berikut: PN 17, BN 14 dan PBS 7. Perkara sangat berbeza,” katanya dalam komen di Facebook.
Kemelut perlantikan Ketua Menteri Sabah selepas berakhirnya PRN mendapat perhatian umum apabila PN dan BN berebut jawatan utama itu.
Manakala Perlembagaan Sabah menetapkan Ketua Menteri boleh dilantik dari parti berdaftar yang menang kerusi terbanyak. Dalam hal itu Datuk Seri Shafie Apdal layak untuk dilantik sebagai Ketua Menteri dan mencari mana-mana parti yang mahu bergabung bersama Warisan Plus bagi mentadbir negeri.