Kerajaan PN tidak stabil, Covid 19, halang pelaburan ke Malaysia

 



Ketidakstabilan kerajaan 'tebuk atap' Perikatan Nasional (PN) dan terhadnya pergerakan rentas sempadan akibat wabak Covid 19 akan menjadi faktor penghalang pemulihan segera ekonomi negara.

 

Menurut mantan Timbalan Pengarah Jabatan Ekonomi Bank Negara Malaysia, Dr Rosli Yaakob, ketidakstabilan politik biasanya akan mengurangkan minat Pelaburan Langsung Asing (FDI) untuk menanam modal di Malaysia.

 

Sementara kurangnya aktiviti rentas sempadan bakal mengurangkan eksport kepada rakan-rakan dagangan utama negara sebelum ini.

 

"Prospek untuk melihat pemulihan aliran masuk FDI ke Malaysia dalam masa terdekat dan jangka pertengahan dijangka muram memandangkan pergerakan rentas sempadan yang masih terhad.

 

"Sistem pengangkutan udara dan laut dunia yang dilumpuhkan oleh Covid 19 masih jauh daripada pulih seperti sediakala, menjejaskan pergerakan manusia dan perdangangan antarabangsa. Ketika mana keadaan di banyak negara pengeksport modal seperti China, Eropah, Amerika Syarikat dan lain-lain juga menghadapi tekanan ekonomi.

"Faktor-faktor ini menjejaskan mobiliti modal dan pelaburan antarabangsa. Maka, dijangkakan aliran masuk FDI akan merosot dalam tahun 2021. Bagi Malaysia, keadaan politik yang kucar kacir memudaratkan lagi aliran masuk FDI," jelasnya.

 

Mengulas moratorium yang bakal berakhir September ini pula, Dr Rosli berkata, bagi mereka yang masih mempunyai pekerjaan tiada masalah untuk membayar hutang masing-masing namun bagi mereka yang kehilangan pekerjaan maka akan berdepan masalah besar.

 

"Bagi golongan yang telah hilang pekerjaan, mereka berdepan dengan masalah tak boleh bayar. Jika ini berlaku dan bilangan default itu sizeable, ianya akan menimbulkan masalah kepada bank kerana insiden hutang tidak berbayar meningkat.

 

"Oleh itu dijangkakan moratorium akan diteruskan, mungkin secara selektif, orang yang benar-benar perlukan lanjutan moratorium mungkin dibenarkan berbuat demikian," katanya.

 

Mengenai pakej ransangan ekonomi yang bakal diperkenalkan oleh kerajaan dalam Belanjawan 2021, Dr Rosli berpendapat hal itu amat perlu. Katanya, tanpa pakej ransangan yang meletakkan lebih banyak wang dalam saku rakyat maka aktiviti ekonomi akan semakin perlahan.

 

Beliau beranggapan pakej ransangan sebelum ini tidak cukup atau tidak menyeluruh untuk memaksimumkan putaran roda ekonomi negara.

 

"Memang dasar yang wajar dilaksanakan melawan ekonomi menurun ialah menggalakkan rakyat meningkatkan perbelanjaan penggunaan dan pelaburan. Ini akan menambahkan permintaan terhadap barang-barang dan perkhidmatan.

 

"Dengan ini peluang pekerjaan akan bertambah dan roda kegiatan ekonomi berputar kembali. Oleh itu, adalah wajar supaya perbelanjaan sektor awam dan swasta dirangsang agar roda ekonomi kembali berputar," katanya.

 

Pakej ransangan ekonomi sebelum ini dikritik kerana tidak cukup membantu sektor industri khususnya kecil dan sederhana (IKS) bertahan dalam suasana Perintah Kawalan Pergerakan. Ketika sesi Parlimen baru-baru ini, Pakatan Harapan juga mendesak agar kerajaan meminjam lebih banyak untuk meransang aktiviti ekonomi bagi mengelakkan arus pembuangan pekerjaan dan penggangguran yang mencecah 800,000 orang daripada terus meningkat.