Pejuang hanya mampu curi undi Melayu – Ilham Centre
Parti baharu Dr Mahathir Mohamad, Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), hanya akan dapat “curi undi” dan belum tentu akan dapat menembusi kawasan majoriti Melayu dalam pilihan raya umum akan datang (PRU15), kata penganalisis.
Malah dalam suasana politik semasa, Pejuang dilihat sukar untuk mendapatkan sokongan di kawasan Felda, seperti yang pernah dilakukan oleh Pakatan Harapan (PH) dalam pilihan raya umum yang lalu (PRU14), kata mereka.
Pengarah Eksekutif Ilham Centre Hisomuddin Bakar walaupun Pejuang wadah kekecewaan dan protes bekas ahli Bersatu, mereka masih belum mampu untuk menawan kerusi di jajaran Melayu.
“Dengan kewujudan Pejuang yang tidak ada bersekutu dengan mana-mana pakatan, keadaannya adalah mereka hanya akan curi undi.
“Untuk galas kemenangan (di kerusi ditandingi) masih kami ragui untuk Pejuang,” kata Hisommudin dipetik.
Jelas beliau, Pejuang hanya boleh mengharapkan undi protes daripada ahli Bersatu namun tidak akan mampu menggugat kedudukan lawan.
“Untuk mereka raih undi protes dan saluran kepada ahli-ahli Bersatu yang tak puas hati mereka akan dapat.
“Sukar untuk mereka gugat sampai kata boleh menang. Nak bagi cabaran undi protes boleh,” tambahnya.