KENYATAAN MEDIA 3 September 2020



TUNTUTAN FILIPINA KE ATAS SABAH

Saya telah meneliti beberapa laporan berhubung penubuhan semula Hal Ehwal Borneo Utara oleh Jabatan Luar Negeri Filipina. Sikap dan langkah beberapa pegawai tertinggi kerajaan Filipina yang mempersoal kedaulatan Malaysia ke atas Sabah adalah sangat tidak wajar.

Saya mendukung pendirian kerajaan Malaysia dalam memperkukuhkan kedaulatannya di semua badan serantau mahupun antarabangsa.

Sabah jelas merupakan sebahagian dari Malaysia. Ini adalah keputusan dan muafakat yang dicapai oleh rakyat Sabah pada tahun 1963. Rakyat Malaysia adalah rakyat yang bersatu padu, dan akan mempertahankan setiap inci wilayah negara ini.

Malaysia, Filipina dan rakan lain di ASEAN adalah rakan serantau dalam mendepani pelbagai isu melibatkan geopolitik dan keselamatan yang mengesankan rantau ini dan warganya. Usaha dan upaya bersama kita dalam memerangi aktiviti lanun, penculikan, pendatang asing tanpa izin dan terorisme menjadi tunjang utama dalam kerjasama pelbagai hala ini yang akan memanfaatkan rakyat dan ekonomi kita, dan seterusnya untuk segera pulih dari rempuhan wabak Covid-19.

Ingin ditegaskan di sini bahawa sekarang bukan waktunya untuk politik keangkuhan dan mencipta pertelagahan yang sia-sia. Ini adalah masanya untuk kita rangkul segala kekuatan yang ada untuk memampan dampak Covid-19, mendukung jutaan rakyat yang miskin dan terpinggir, dan merencana masa depan yang aman dan sentosa untuk warga Malaysia dan Filipina.

ANWAR IBRAHIM