Bersatu pecat Osman Sapian, Kerajaan PN Johor boleh tumbang
Pemecatan serta merta keahlian Bersatu ke atas bekas menteri besar, Osman Sapian boleh menyebabkan kerajaan PN Johor goyah sekiranya beliau mengisytihar sokongan kepada Pakatan Harapan
Tengah hari tadi, pengerusi lembaga displin Bersatu, Megat Najmuddin berkata, Adun Kempas itu dipecat serta merta dan tidak perlu didakwa di depan lembaga disiplin parti di atas tindakannya.
“Mengikut Perlembagaan Bersatu, Fasal 10.2.3, Datuk Osman telah secara automatik / serta-merta terlucut keahlian beliau dalam parti Bersatu.
“Tak perlu di dakwa depan lembaga disiplin. Setiausaha agung (Bersatu) boleh memberitahu kepada umum bahawa Datuk Osman tidak lagi merupakan ahli Bersatu kerana tingkah laku beliau sendiri,” katanya dipetik Malaysiakini.
Tindakan menurut Bersatu diambil kerana Osman didakwa membantu calon Bebas di PRK Slim baru-baru ini.
Bagaimanapun, Osman mendakwa kehadirannya di Slim, Perak sekadar untuk bertemu rakan lama sambil makan angin dan menegaskan tindakan beliau itu tiada kaitan dengan politik.
Osman bagaimanapun, enggan mengulas mengenai kenyataan Megat Najmuddin itu ketika dihubungi.
“Saya tak nak komen,” jawabnya ringkas.
Semalam, Timbalan Presiden Bersatu Ahmad Faizal Azumu berkata Bersatu menyerahkan sepenuhnya kepada lembaga disiplin parti itu untuk menentukan tindakan terhadap Osman berhubung tindakannya itu.
Ahmad Faizal berkata jawatankuasa lembaga disiplin sebelum itu perlu menyiasat dan memanggil Osman untuk memberi keterangan.
DUN Johor memiliki 56 kerusi dengan agihan sebelum ini adalah Umno dan DAP masing-masing 14, Bersatu (12), MIC (dua), PAS (satu), Amanah (9) dan PKR (empat).
Ia menjadikan kerajaan PN mempunyai 29 kerusi berbanding PH 27 kerusi, manakala majoriti mudah bagi membentuk kerajaan baharu di Johor ialah 29 kerusi.
Namun sekiranya Osman menyokong PH selepas dipecat maka kedudukan kerusi 28 – 28. Situasi itu amat getir. Sedangkan sebeum ini dilaporkan selain Osman terdapat dua lagi ADUN Bersatu yang tidak sebulu dengan MB Umno di Johor.
Bagaimanapun, Sultan Johor beberapa bulan lalu memberi amaran akan membubarkan DUN Johor jika berlaku lompat parti. Mungkinkah Johor akan menghadapi PRN selepas Sabah?