Kesukaran adik Vevenoah tidak wajar dipersenda
Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad mengecam tindakan Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Zahidi Zainul Abidin yang membuat kenyataan mengelirukan berhubung isu seorang penuntut Universiti Malaysia Sabah, Vevenoah Mosibin yang meluahkan kesukarannya menjawab soalan exam online tanpa akses internet di kawasannya.
Menurut Nik Nazmi, Zahidi tidak seharusnya terus membuat komen kononnya Vevenoah cumalah seorang youtuber dan tidak menghadapi peperiksaan serta tidak wajar membuat komen di You Tube.
“Saya ingin melahirkan rasa kesal terhadap tindakan Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Zahidi Zainul Abidin yang telah memberi jawapan yang salah berhubung isu Vevenoah.
“Vevenoah yang merupakan pelajar Asasi Sains Universiti Malaysia Sabah terpaksa bermalam di hutan untuk menjawab peperiksaan kerana kampungnya menghadapi masalah jaringan Internet.
“Kenyataan salah Zahidi telah dikutip oleh banyak media dan menyebabkan Vevenoah mendapat kecaman dari netizen. Sudah tentu hal ini akan memberi kesan kepada emosi dan imej Vevenoah (pada masa hadapan),” katanya dalam satu kenyataan di Facebook.
Biarpun Zahidi kemudiannya telah memohon maaf berhubung kenyataan beliau namun Nik Nazmi berpendapat hal itu tidak sepatutnya berlaku memandangkan kini Vevenoah terpaksa menghadapi persepsi negatif orang ramai selepas media menyiarkan beritanya.
“Vevenoah cumalah seorang pelajar, bukan ahli politik. Timbalan menteri tidak perlu membunuh karakternya semata-mata untuk menafikan capaian internet di bahagian pedalaman Sabah masih lagi rendah.
“Walaupun beliau telah melakukan permohonan maaf, sudah tentu kesan dari ucapan yang tidak bertanggungjawab itu telah memberi kesan yang besar kepada Vevenoah,” katanya yang juga Jurucakap Parlimen KEADILAN Untuk Pendidikan.
Baru-baru ini tular laporan, seorang gadis Vevenoah terpaksa memanjat dan bermalam di atas pokok semata-mata mendapatkan capaian internet bagi menjawab soalan peperiksaan yang dilakukan secara atas talian.
Kesukaran itu sebaliknya tidak disiasat dengan betul oleh Kementerian Komunikasi dan Multimedia sehingga gadis itu dipersedakan akibat kesusahannya.