MUHYIDDIN TIDAK MAHU MUSA AMAN SEBAGAI CALON LAGI


Kedudukan Musa Aman sama ada akan bertanding atau tidak dalam PRN Sabah 26 September depan adalah misteri yang belum terungkai setakat ini.
Bagi Musa, memandangkan beliau telah bekerja keras dalam cubaan untuk menumbangkan Shafie Apdal, walaupun usahanya itu menemui kegagalan, sebaliknya DUN Sabah akhirnya dibubarkan, tentulah dalam hatinya ingin bertanding semula.
Sekurang-kurangnya jika bertanding semula di DUN Sungai Sibuga dan menang lagi, ditakdirkan pula kiranya Warisan berjaya dikalahkan, dapatlah Musa bersaing semula untuk kembali menjadi Ketua Menteri.
Tetapi, jika tidak bertanding, maka terlepaslah segala peluangnya untuk menduduki semula kerusi Ketua Menteri itu.
Dengan tidak bertanding juga seolah-olah usaha Musa menggegarkan politik Sabah dan menjatuhkan kedudukan Shafie sebelum ini sebagai sia-sia belaka.
Tambahan lagi, penyokong Musa tentu saja masih ramai yang mahu bekas Ketua Menteri Sabah itu terus bertanding lagi di DUN Sungai Sibuga.
Begitu pun, perkembangan terbaru nampaknya tidak memihak kepada Musa jika beliau teringin untuk bertanding dalam PRN Sabah nanti.
Ini berikutan, Muhyiddin Yassin dihabarkan telah memberi mesej yang jelas agar Musa diketepikan dan tidak diberi ruang bertanding lagi jika PN benar-benar ingin menumbangkan Warisan dan menjatuhkan Shafie Apdal.
Para pemimpin PN khabarnya telah diperingatkan jika Musa bertanding lagi, mereka mungkin terpaksa menghabiskan banyak masa untuk menjawab pelbagai isu isu berkaitan bekas Ketua Menteri yang banyak kontroversi itu.
Sebaliknya, kalau Musa tidak diletakkan sebagai calon, kerja kempen PN akan lebih mudah dan boleh ditumpukan sepenuhnya untuk menyerang Warisan dan Shafie Apdal saja.
Dalam lawatan dua hari Muhyiddin ke Sabah baru-baru ini, beliau telah pun menunjukkan isyarat tersebut dengan tidak menyebut sama sekali nama Musa dalam suatu majlis yang dihadiri oleh para pemimpin PN negeri.
Tindakan Muhyiddin tidak menyebut nama Musa itu bukan saja disedari oleh semua pemimpin PN, malah Musa yang turut berada dalam majlis tersebut dikatakan amat tersinggung dengan apa yang diperlakukan terhadapnya.
Musa dikatakan sedar tindakan Muhyiddin tidak menyebut namanya itu memang sesuatu yang disengajakan.
Beliau dikhabarkan tidak dapat tidur malam dengan perbuatan Muhyiddin itu dan telah datang meluahkan rasa hatinya sehingga menjelang Subuh kepada seorang pemimpin Bersatu dari Semenanjung yang turut berada di Sabah ketika itu.
Apa yang lebih mendukacitakan Musa ialah berikutan peluang UMNO menang juga agak seimbang dengan Warisan, pimpinan parti itu juga setakat ini nampaknya bersetuju agar beliau direhatkan saja dalam PRN kali ini.
Dengan terketepinya nama Musa, pertembungan merebut jawatan Ketua Menteri di pihak UMNO dijangka hanyalah antara Bung Mokhtar Radin dan Abdul Rahman Dahlan saja.
Dalam hal ini, apakah Musa akan hanya berdiam diri saja dalam PRN akan datang ini atau beliau akan berusaha dalam bentuk lain untuk melepaskan dendamnya menjatuhkan Shafie?
Atau mungkin Abdul Rahman Dahlan, bekas Setiausaha Politiknya sebelum ini adalah proksinya untuk merebut kerusi Ketua Menteri daripada Shafie? 
(Shahbudindotcom 04/09/2020)