Presiden Warisan, Datuk Seri
Shafie Apdal menyeru rakyat supaya mengundi calon KEADILAN bagi kerusi Dewan
Undangan Negeri (DUN) Api-Api, Christina Liew pada Pilihan Raya Negeri (PRN)
Sabah.
Beliau berkata, Christina
berjaya membawa hasil pendapatan yang banyak dalam industri pelancongan
sepanjang beliau berkhidmat Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Sabah.
Justeru, Shafie mahu Christina
terus berbakti dengan kerajaan negeri dan menyeru rakyat supaya mengundi di DUN
Api-Api.
"Sepanjang tempoh
berkempen saya mahu tolong kawan-kawan terutamanya Christina Liew.
"Di bawah kementerian yang
diterajui Christina, lebih 4 juta pelancong datang ke Sabah, paling banyak
dalam sejarah, kalah Barisan Nasional (BN) punya menteri. Tahniah Christina.
"Disebabkan itu, Sabah
mendapat pulangan sehingga RM12 juta hasil cukai pintu sewa bilik hotel. Tetapi
mereka juga beli pakaian, makan dan minum, pengangkutan, tiket kapal terbang,
semua ini cecah berbilion-bilion," katanya ketika majlis bersama
calon-calon Warisan Plus di Kota Kinabalu.
Pada masa sama, Shafie
memberikan sokongan penuh kepada KEADILAN, kerana beliau tidak rela melihat
Perikatan Nasional dan Barisan Nasional mengambil alih kerajaan negeri.
"Undilah Warisan, tetapi
jangan lupa undi KEADILAN. Kalau tidak nanti, Bung Mokhtar atau Hajiji Md Nor
yang akan jadi ketua menteri.
"Perdana Menteri, Tan Sri
Muhyiddin tidak bertanding pun tapi ada poster tanda pangkah dia. Jadi, dia nak
katakan dia berkuasa di Sabah. Cukup-cukuplah, biar orang Sabah yang buat
keputusan siapa akan jadi kerajaan negeri bukan kerajaan dari Kuala Lumpur.
"Jadi, jangan lupa undi
calon KEADILAN, undilah Christina Liew, beri sokongan kepada beliau,"
katanya.