Cuti umum, sambutan peringkat nasional Hari Malaysia dicetus Anwar Ibrahim

 


Selepas Malaysia terbentuk pada 16 September 1963, sambutan Hari Malaysia dan cuti umum hanya di peringkat negeri Sabah dan Sarawak.

 Namun, Ketua Penerangan KEADILAN, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin mendedahkan Datuk Seri Anwar Ibrahim berhasrat untuk memartabatkan Hari Malaysia sebagai salah satu hari terpenting dan sepatutnya diraikan oleh semua lapisan masyarakat di seluruh negara.

 "Jadi pada 2008, beliau mencadangkan kepada kerajaan supaya menjadikan 16 September sebagai sambutan di peringkat nasional dan diberikan cuti umum.

 "Lihatlah bagaimana 12 tahun lalu itu adalah gagasan KEADILAN demi mengangkat tema Hari Malaysia sebagai hari cukup penting dan hari istimewa bagi negara kita yang tercinta," katanya ketika sambutan Hari Malaysia ke-57 di Kota Kinabalu, Sabah.

 Shamsul berpandangan gagasan Hari Malaysia yang dibawa oleh Anwar penting dalam meraikan kepelbagaian di Sabah dan Sarawak.

 "Terbukti gagasan ini benar dan tepat dijadikan sambutan dan menunjukkan kekuatan parti kita sendiri iaitu unity in diversity (bersatu padu dalam kepelbagaian). Ini yang kita mahukan di Malaysia," katanya.

 Akhirnya, pada 19 Oktober 2009, kerajaan mengumumkan Hari Malaysia sebagai cuti umum di seluruh negara dan disambut besar-besaran pada 16 September setiap tahun.