Pada 18 September
2020
oleh PENTADBIR
Oleh Noor Suhana Ishak
(Timbalan Pengerusi DAP Cawangan Kampung Tunku SS1 dan mantan Naib
Ketua Puteri Umno Bahagian)
Saya merujuk kepada kenyaatan Ahli
Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah dalam kenyataan beliau yang
disiarkan di The Malaysian Insight berbahasa Inggeris pada 18 September 2020
yang berbunyi “Don’t let DAP dupe you Ku Li tells Malay youth”.
Pertama sekali dengan rasa penuh
hormat dan rendah diri saya terhadap veteran politik seperti ayahanda Ku Li,
saya memohon maaf jika apa yang saya luahkan ini menyinggung perasaan beliau.
Saya adalah seorang wanita muda
Melayu yang merupakan ahli DAP yang kini memangku jawatan sebagai Timbalan
Pengerusi Cawangan DAP Kampung Tunku SS1.
Saya menyertai DAP pada tahun lalu.
Sebelum saya menyertai DAP, saya adalah ahli Umno di bawah sayap Puteri Umno
dan jawatan saya sebelum saya keluar parti tahun lepas adalah Naib Ketua
Pergerakan Puteri Bahagian di sebuah bahagian di Wilayah Persekutuan.
Sejujurnya pengalaman saya di dalam
DAP dan Umno amat berbeza sekali.
Di dalam DAP, saya diberikan peluang
untuk berkembang maju dan diberikan galakan untuk mengembangkan bakat dan
kebolehan saya tanpa ada apa-apa sekatan.
Di dalam DAP saya mula belajar
tentang perkara yang saya tidak pernah belajar di dalam Umno terutamanya
berkaitan dengan pendidikan politik negara ini juga Perlembagaan Persekutuan.
Di dalam DAP juga pandangan saya
diambil kira oleh pimpinan tertinggi.
Saya telah beberapa kali menerima
undangan dari Veteran DAP, Lim Kit Siang dan juga beberapa pemimpin parti yang
lain untuk berkongsi pendapat mengenai hala tuju parti dan juga landskap
politik masa kini.
Sejujurnya ini semua adalah
pengalaman baru buat saya walaupun saya sudah lama berkecimpung dalam bidang
politik melalui Puteri Umno.
Di dalam Umno khususnya Puteri Umno,
pandangan saya sebagai seorang akar umbi tidak dipeduli, saya hanya diberikan
perhatian selepas saya mula menjawat jawatan namun pandangan saya dan
rakan-rakan yang lain kurang diambil peduli oleh peringkat pimpinan atas baik
di Puteri Umno mahupun di peringkat Umno Malaysia.
Berapa ramai ahli Puteri Umno di
peringkat cawangan yang diberikan peluang berdialog secara dekat dengan
pemimpin parti?
Berapa ramai ahli akar umbi yang
tahu mengenai Perlembagaan Persekutuan dengan lebih mendalam selain daripada
retorik mengenai hak Melayu, Raja-raja Melayu dan agama Islam yang dimainkan
oleh Umno?
Jujur saya akui Umno adalah parti
yang penuh dengan protokol dan tidak mesra anak muda.
Lain pula di DAP, di mana anak muda
diberikan peluang, mungkin tidak ramai sebagai ahli Jawatankausa Tertinggi
Pusat (CEC) tetapi ramai sebagai wakil-wakil rakyat dan calon pilihan raya.
Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14)
yang lalu, kesemua calon pilihan raya DAP yang muda telah memenangi kerusi
mereka dengan majoriti yang besar. Calon-calon muda ini adalah berusia antara
25 hingga ke 35 tahun.
Ini berbeza dengan takrif calon muda
yang dibawa oleh Umno dan Barisan Nasional.
DAP adalah satu parti pelbagai kaum.
Ia mungkin didominasi oleh kaum Cina pada masa dahulu namun tidak pada masa
kini.
Dan saya menjangkakan lebih ramai
anak muda Melayu akan menyertai DAP kerana mereka menolak parti politik yang
menpunyai asas dan retorik bangsa dan perkauman.
Saya juga ingin mengingatkan
ayahanda Ku Li bahawasanya pada 16 September 2020 yang lalu, iaitu beberapa
hari yang lalu, kita telah menyambut Hari Malaysia ke-57.
Hari Malaysia adalah bagi memperingati
peristiwa gabungan Tanah Melayu, Sabah yang dikenali dengan nama Borneo Utara
pada waktu itu, Sarawak dan Singapura (yang kemudiannya keluar dari gagasan
ini) untuk membentuk sebuah negara yang merdeka yang dipanggil Malaysia.
Saya mohon agar tidak lagi digunakan
terma Tanah Melayu itu bagi membakar sentimen antara kita dan menghormati
pembentukan negara kita yang tercinta ini.
Akhir kata saya mohon kepada
ayahanda Ku Li dan pemimpin parti Umno yang lain, hentilah membakar sentimen
perkauman demi mendapat sokongan.
Anak muda kini sudah lebih terbuka
mindanya. Sebagai satu parti yang mewakili Melayu yang sudah lama bertapak di
negara ini, Umno seharusnya lebih baik dan “classy” dalam perkara-perkara
sebegini.
Walaupun mungkin tidak mendapat
sokongan, namun mungkin Umno masih dihormati jika tidak bermain sentimen
perkauman.