DAP beri peluang orang muda tonjol bakat

 




Pada 18 September 2020

oleh PENTADBIR

Oleh Noor Suhana Ishak

(Timbalan Pengerusi DAP Cawangan Kampung Tunku SS1 dan mantan Naib Ketua Puteri Umno Bahagian)

Saya merujuk kepada kenyaatan Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah dalam kenyataan beliau yang disiarkan di The Malaysian Insight berbahasa Inggeris pada 18 September 2020 yang berbunyi “Don’t let DAP dupe you Ku Li tells Malay youth”.

Pertama sekali dengan rasa penuh hormat dan rendah diri saya terhadap veteran politik seperti ayahanda Ku Li, saya memohon maaf jika apa yang saya luahkan ini menyinggung perasaan beliau.

Saya adalah seorang wanita muda Melayu yang merupakan ahli DAP yang kini memangku jawatan sebagai Timbalan Pengerusi Cawangan DAP Kampung Tunku SS1.

Saya menyertai DAP pada tahun lalu. Sebelum saya menyertai DAP, saya adalah ahli Umno di bawah sayap Puteri Umno dan jawatan saya sebelum saya keluar parti tahun lepas adalah Naib Ketua Pergerakan Puteri Bahagian di sebuah bahagian di Wilayah Persekutuan.

Sejujurnya pengalaman saya di dalam DAP dan Umno amat berbeza sekali.

Di dalam DAP, saya diberikan peluang untuk berkembang maju dan diberikan galakan untuk mengembangkan bakat dan kebolehan saya tanpa ada apa-apa sekatan.

Di dalam DAP saya mula belajar tentang perkara yang saya tidak pernah belajar di dalam Umno terutamanya berkaitan dengan pendidikan politik negara ini juga Perlembagaan Persekutuan.

Di dalam DAP juga pandangan saya diambil kira oleh pimpinan tertinggi.

Saya telah beberapa kali menerima undangan dari Veteran DAP, Lim Kit Siang dan juga beberapa pemimpin parti yang lain untuk berkongsi pendapat mengenai hala tuju parti dan juga landskap politik masa kini.

Sejujurnya ini semua adalah pengalaman baru buat saya walaupun saya sudah lama berkecimpung dalam bidang politik melalui Puteri Umno.

Di dalam Umno khususnya Puteri Umno, pandangan saya sebagai seorang akar umbi tidak dipeduli, saya hanya diberikan perhatian selepas saya mula menjawat jawatan namun pandangan saya dan rakan-rakan yang lain kurang diambil peduli oleh peringkat pimpinan atas baik di Puteri Umno mahupun di peringkat Umno Malaysia.

Berapa ramai ahli Puteri Umno di peringkat cawangan yang diberikan peluang berdialog secara dekat dengan pemimpin parti?

Berapa ramai ahli akar umbi yang tahu mengenai Perlembagaan Persekutuan dengan lebih mendalam selain daripada retorik mengenai hak Melayu, Raja-raja Melayu dan agama Islam yang dimainkan oleh Umno?

Jujur saya akui Umno adalah parti yang penuh dengan protokol dan tidak mesra anak muda.

Lain pula di DAP, di mana anak muda diberikan peluang, mungkin tidak ramai sebagai ahli Jawatankausa Tertinggi Pusat (CEC) tetapi ramai sebagai wakil-wakil rakyat dan calon pilihan raya.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang lalu, kesemua calon pilihan raya DAP yang muda telah memenangi kerusi mereka dengan majoriti yang besar. Calon-calon muda ini adalah berusia antara 25 hingga ke 35 tahun.

Ini berbeza dengan takrif calon muda yang dibawa oleh Umno dan Barisan Nasional.

DAP adalah satu parti pelbagai kaum. Ia mungkin didominasi oleh kaum Cina pada masa dahulu namun tidak pada masa kini.

Dan saya menjangkakan lebih ramai anak muda Melayu akan menyertai DAP kerana mereka menolak parti politik yang menpunyai asas dan retorik bangsa dan perkauman.

Saya juga ingin mengingatkan ayahanda Ku Li bahawasanya pada 16 September 2020 yang lalu, iaitu beberapa hari yang lalu, kita telah menyambut Hari Malaysia ke-57.

Hari Malaysia adalah bagi memperingati peristiwa gabungan Tanah Melayu, Sabah yang dikenali dengan nama Borneo Utara pada waktu itu, Sarawak dan Singapura (yang kemudiannya keluar dari gagasan ini) untuk membentuk sebuah negara yang merdeka yang dipanggil Malaysia.

Saya mohon agar tidak lagi digunakan terma Tanah Melayu itu bagi membakar sentimen antara kita dan menghormati pembentukan negara kita yang tercinta ini.

Akhir kata saya mohon kepada ayahanda Ku Li dan pemimpin parti Umno yang lain, hentilah membakar sentimen perkauman demi mendapat sokongan.

Anak muda kini sudah lebih terbuka mindanya. Sebagai satu parti yang mewakili Melayu yang sudah lama bertapak di negara ini, Umno seharusnya lebih baik dan “classy” dalam perkara-perkara sebegini.

Walaupun mungkin tidak mendapat sokongan, namun mungkin Umno masih dihormati jika tidak bermain sentimen perkauman.