Kementerian Kesihatan sebelum ini berpendirian tidak mahu
tergesa-gesa menyertai pelan itu berikutan perlu mempertimbangkan beberapa
perkara membabitkan pembangunan vaksin dari negara luar. (Gambar AP)
PETALING
JAYA: Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) menggesa Putrajaya lebih telus dalam
rancangannya mendapatkan vaksin Covid-19 untuk negara ini.
Ia
susulan Malaysia dilaporkan tidak termasuk dalam senarai 172 negara yang
mendaftar untuk platform pembangunan vaksin global, Covax.
Presidennya
Dr N Ganabaskaran berkata, rakyat berhak mengetahui mengapa Malaysia tidak
menandatangani pelan vaksin Covax, kerana tarikh tutup bagi negara yang
merancang mengambil bahagian berakhir hari ini.
“Walaupun
KKM memerlukan lebih banyak masa untuk membuat keputusan melebihi tarikh tutup
pelan itu, rakyat mesti tahu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, Menteri Kesihatan Dr Adham Baba perlu memberi
respons segera atau beliau perlu menjawab kepada rakyat nanti mengapa Malaysia
menangguhkan pelan mendapatkan vaksin Covid-19.
Covax adalah sebuah platform
yang dikoordinasi bersama sebuah pakatan vaksin global, GAVI, Gabungan bagi
Inovasi Persediaan Epidemik (CEPI) dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).
Ia dibentuk bagi mencegah
negara daripada membolot vaksin Covid-19 di pasaran, selain memfokuskan untuk
mengutamakan vaksin kepada golongan berisiko tinggi.
Terdahulu, sebanyak 76 negara
kaya termasuk Jepun, Norway dan Jerman komited menyertai pelan itu yang
menyasarkan untuk membantu pembelian dan edaran bekalan yang lebih bersifat
adil.
“MMA percaya walaupun
Malaysia mempunyai rundingan bilateral sendiri untuk sesuatu vaksin, mendaftar
dengan pelan vaksin Covax boleh menjadi pilihan tambahan yang akan menjamin
akses ke vaksin untuk Covid-19,” katanya.
Katanya, di sebalik
pertimbangan terhadap isu keselamatan dalam pembangunan vaksin yang dikesan
pantas itu, mana-mana vaksin yang berpotensi akan dinilai secara menyeluruh
melalui prosedur ketat oleh Kementerian Kesihatan untuk keberkesanan dan
keselamatan, sebelum diisytiharkan selamat untuk digunakan.