KINI PELUANG PAS USULKAN SEMULA RUU 355


Abdul Malek Hussein

Tepat dua tahun lalu, pada 5 April 2018, Dewan Rakyat ditangguhkan dan akan bersidang semula pada suatu tarikh selepas selesai PRU14.‬

‪Apa yang menjadi perhatian ramai dalam mesyuarat terakhir Parlimen Ketiga Belas pada hari itu ialah status usul persendirian MP Marang Abdul Hadi Awang bagi mendapat kebenaran Dewan Rakyat untuk mencadangkan Rang Undang-undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2016 atau lebih dikenali sebagai RUU355.‬

‪Usul persendirian itu mencadangkan Akta 355 dipinda bagi mengenakan hukuman lebih berat di bawah kuasa mahkamah syariah. Ia mahukan hukuman "penjara selama tempoh melebihi 3 tahun atau denda melebihi RM5,000 atau sebatan melebihi 6 kali" digantikan dengan "penjara selama tempoh melebihi 30 tahun atau denda melebihi RM100,000 atau sebatan 100 kali" bagi kes-kes jenayah Syariah.‬

‪Pada 24 November 2016, MP Marang membawa usul persendirian itu bagi kali pertama di Dewan Rakyat di bawah Peraturan Mesyuarat 49 (1).‬

‪Menurut Peraturan Mesyuarat, suatu usul persendirian bagi meminda apa-apa Akta perlu terlebih dahulu dibentang bagi mendapatkan kebenaran majlis mesyuarat Dewan.‬

‪Pada 26 Mei 2016, MP Marang membentangkan usul persendirian tersebut di Dewan Rakyat buat pertama kali dengan membacakan pindaan RUU 355 dalam versi baru yang dipinda lagi, tetapi pembentangan RUU 355 itu dan perbahasannya ditangguhkan.‬

‪Pada 6 April 2017, MP Marang diberi peluang sekali lagi membentangkan usul persendirian tersebut. Namun tiada keputusan dibuat oleh Dewan Rakyat bagi mempersetujui usul yang sepatutnya memberikan kebenaran kepada MP Marang untuk membentangkan pindaan Akta 355, dan sidang Dewan ditangguhkan tanpa sebarang keputusan.‬

‪Pada 5 April 2018, Kerajaan bentangkan usul yang menghadkan masa mesyuarat Dewan Rakyat hanya untuk menyelesaikan urusan kerajaan, tanpa memberi peluang usul persendirian MP Marang dibahaskan. Ahli-ahli Parlimen BN yang bermajoriti UMNO menyetujui usul tersebut, lalu sekali lagi tiada keputusan Dewan dicapai bagi membenarkan MP Marang mencadangkan RUU meminda Akta 355.‬

‪Menurut Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat, sesuatu usul persendirian seperti usul MP Marang bagi meminda Akta RUU 355 perlu mendapat persetujuan Dewan sebelum ianya boleh dijadikan usul RUU Kerajaan.‬

‪Menurut Peraturan Mesyuarat juga, hanya Kerajaan sahaja yang boleh membentang RUU yang baru atau yang meminda Akta yang sedia ada.‬

‪Sebarang pindaan Akta dari Ahli Parlimen bukan kerajaan hendaklah terlebih dahulu kemukakan usul persendirian untuk mendapat persetujuan Dewan. Tanpa persetujuan majlis mesyuarat Dewan, usul persendirian itu tak berbangkit dan tertolak dengan sendirinya apabila Dewan terhenti bersidang atau ditangguhkan atau Parlimen dibubarkan.‬

‪Pada hari Khamis, 5 April 2018, Menteri BN-UMNO di Jabatan Perdana Menteri kemukakan usul Dewan Rakyat hanya menyelesaikan urusan kerajaan. Dewan Rakyat terhenti tepat jam 1:00 tengahari, walaupun pada hari Khamis lazimnya Dewan bersidang sehingga jam 5:30 petang. Menurut kelaziman, masih ada masa selama 3 jam lagi untuk membahas dan memutuskan usul persendirian MP Marang.‬

‪Oleh kerana, Dewan Rakyat bagi Parlimen Ketiga Belas telah ditangguhkan, usul persendirian MP Marang itu tertolak dengan sendirinya dan tak berbangkit lagi.‬

‪Usul persendirian MP Marang bagi mendapat kebenaran untuk mencadangkan RUU meminda Akta 355 tidak mendapat persetujuan Dewan Rakyat. Ia tidak menjadi kenyataan kerana putar belit Yang di-Pertua Dewan Rakyat.‬

‪Usul persendirian MP Marang tidak lagi bertaraf Rang Undang-undang yang sepatutnya kemudian dikemukakan oleh Kerajaan Persekutuan pimpinan PM Najib Razak ketika itu dan dibahaskan dalam Dewan Rakyat. Ia tidak menjadi kenyataan akibat putar belit BN-UMNO yang menguasai majoriti dalam Dewan Rakyat.‬

‪PAS dan para penyokongnya di peringkat akar umbi menjadi mangsa putar pelit politik BN-UMNO, dan di samping itu nyata sekali wujud kesilapan perhitungan strategi pimpinan tertinggi PAS yang termakan umpan PM Najib Razak.‬

‪Dua hari kemudian, pada 7 April 2018, Parlimen dibubarkan bagi memberi laluan kepada PRU14. Dalam PRU14 yang diadakan 9 Mei 2018 itu, BN tewas dan Pakatan Harapan (PH) menang untuk membentuk Kerajaan Persekutuan.‬

‪Pindaan RUU 355 tak berbangkit sepanjang PH berkuasa kerana ia tidak menjadi agenda perjuangan PH.‬

‪Kerajaan PH tidak bertahan lama. Pada 24 Februari 2020, Kerajaan PH tumbang dan Perikatan Nasional (PN) merampas kuasa melalui pengkhianatan beberapa Ahli-ahli Parlimen Parti Keadilan Rakyat dan tindakan Bersatu keluar PH. ‬

‪Pada 9 Mac 2020, PM Muhyiddin Yassin mengumumkan Anggota Pentadbiran seramai 70 orang, termasuk 3 orang Menteri dan 5 Timbalan Menteri dari PAS.‬

Aku membangkitkan beberapa persoalan kini berkaitan pindaan Akta 355.

‪◾️Apakah kehadiran Menteri-menteri dan Timbalan-timbalan Menteri PAS akan lebih membuka peluang untuk mencadangkan dalam Kabinet Kerajaan PN bagi mempersetujui Rang Undang-undang meminda Akta 355 dibawa ke mesyuarat Parlimen yang akan bermula pada 18 Mei 2020?‬

‪◾️Atau, adakah dengan MP Kota Bharu, Takiyuddin Hassan yang kini Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) pada kali ini akan mengemukakan usul Kerajaan bagi meminda Akta 355 dalam sidang Parlimen akan datang?‬

‪◾️Atau, apakah MP Marang, Haji Abdul Hadi Awang yang kini Duta Khas PM ke Timur Tengah bertaraf Menteri akan beliau sendiri membentangkan usul Kerajaan itu?‬

‪◾️Atau, apakah PAS akan menganjurkan satu lagi perhimpunan RUU 355 bagi mengenakan tekanan terhadap Kerajaan PN seperti yang pernah diadakan pada 18 Februari 2017 di Padang Merbok, Kuala Lumpur jika Kerajaan PN tidak bersetuju dengan pindaan itu?‬

‪◾️Atau, bersediakah PAS menarik diri daripada Kerajaan PM Muhyiddin Yassin sekiranya Kerajaan PN tidak mempunyai komitmen untuk meminda Akta 355?‬

‪◾️Atau, adakah PAS sendiri memutuskan untuk tidak lagi memperjuangkan pindaan Akta 355 kerana berkedudukan kerajaan kini lebih selesa dan tidak membawa keuntungan politik lagi jika isu RUU 355 dikemukakan kembali?‬

‪◾️Atau, adakah sebelum ini tuntutan PAS untuk meminda Akta 355 dahulu hanyalah suatu sandiwara politik yang cuma bertujuan mengabui untuk menarik sokongan undi orang-orang Melayu Islam dalam PRU14 sahaja?‬

‪Sesungguhnya, dua tahun lalu pada 5 April 2018, perjuangan PAS meminda Akta 355 tidak berupaya menjadi kenyataan. Tetapi kini PAS dalam Kerajaan Persekutuan. PAS mungkin tak berhalangan lagi untuk membawa dan menjadi pindaan itu suatu realiti.‬

‪🔴 Atau, mungkinkah RUU 355 kini telah meninggal dunia menjadi mangsa terbaru virus COVID-19?‬