Ransangan tunai perlu RM150 bilion, bukan RM22 bilion – Pakar
Pakar ekonomi tidak melihat ransangan tunai sebanyak RM22 bilion yang diumumkan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dalam pakej ransangan ekonomi sebanyak RM250 bilion minggu lalu mencukupi menghadapi kesan wabak Covid 19.
Sebaliknya seorang pakar ekonomi, Kameel Mydin Maeera berkata, satu ransangan tunai baharu melibatkan RM150 perlu dibuat bagi menghalang kemelesetan selepas tempoh Perintah Kawalan Pergerakan.
Pakej itu perlu, katanya bagi meningkatkan bekalan wang daripada bank pusat.
Beliau berkata, peningkatan dalam bekalan wang akan membantu perniagaan terus menjalankan kilang-kilang dan kedai-kedai dan wang secukupnya untuk keperluan asas.
Bekas dekan Institut Perbankan dan Kewangan Islam di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia itu mengingatkan kerajaan supaya tidak meminjam wang, terutama daripada Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) dan institusi lain.
“Perintah kawalan pergerakan akan menyebabkan syarikat-syarikat tutup kerana tiada wang untuk menjalankan operasi.
“Oleh kerana wang tidak bergerak, ekonomi akan susut kerana kesan pengganda,” kata Kameel dipetik FMT.
Dalam satu laporan terbaru, Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia membuat spekulasi 2.4 juta rakyat mungkin tiada pekerjaan apabila pertumbuhan KDNK menguncup kepada -2.9% pada 2020.
Kameel berkata kemelesetan sudah dijangka sebelum krisis Covid-19 meletus.
Beliau tidak bersetuju dengan ramalan pakej rangsangan itu akan menyumbang 2.8% kepada KDNK, seperti yang dinyatakan Menteri Kewangan Tengku Zafrul Aziz baru-baru ini.
“Sekarang kita juga akan berdepan kemelesetan daripada sektor runcit, antara lain. PKS akan terkesan teruk dengan jutaan diberhentikan kerja,” katanya, dan menambah hanya langkah drastik akan selamatkan Malaysia.