Oleh Pukul Canang
Sekiranya
almarhum ustaz Fadzil Noor masih hidup beliau adalah orang yang paling
sedih melihat PAS pada hari ini. Semua legasi yang ditinggalkan oleh
ustaz Fadzil dihancur musnahkan oleh puak Hj Hadi, Geng Ustaz dan puak
UG.
Fadzil walaupun seorang ustaz tetapi beliau bijak
menseimbangkan antara agama dan demokrasi. Di bawah pemerintahan beliau
sebagai presiden PAS, parti itu melakukan tahaluf siyasi bersama
rakan-rakan politik bukan beraliran agama.
Fadzil membuka jalan
untuk bertahaluf dengan Parti Melayu Semangat 46 pada 1989 dan juga DAP
serta beberapa parti kecil lain. Tahaluf atau kerjasama politik itu
berjaya membuahkan hasil menawan Kelantan pada PRU 1990 dan meluaskan
pengaruh PAS di Kedah serta Terengganu.
Tahaluf yang berjaya
Pada
1998, sekali lagi Fadzil membuka jalan bertahaluf dengan penyokong
gerakan Reformasi membela Anwar Ibrahim. Hasilnya terbentuklah Barisan
Alternatif yang berjaya menguasai Terengganu dan 1/3 DUN Kedah pada PRU
1999.
Kejayaan awal itulah menjadi platform kepada Pakatan Rakyat
hari ini yang menguasai 3 negeri dan 1 Wilayah Persekutuan serta
berjaya meraih 52 peratus undi popular rakyat Malaysia dalam PRU 2013.
Selepas
PAS merasakan diri mereka kuat dengan keahlian 1 juta anggota maka
mereka mula melupakan rakan-rakan gabungan. Puak ustaz yang sejak 1998
membenci Anwar tetapi kurang wibawa menentang Fadzil Noor kini telah
menjadi pendesak dalam PAS.
Puak ulama mahu PAS dikuasai
sepenuhnya mereka. Malah parti politik Iran pun tidak mempraktikkan
semua jawatan dalam parti dikuasai ulama, tetapi PAS ingin melakukannya
dalam muktamar akan datang. Geng Ustaz merasakan PAS cukup kuat untuk
bergerak seperti Hezbollah di Lubnan. Parti itu walaupun dikuasai
golongan agama tetapi disokong oleh penduduk Kristian dan golongan
sekular.
Namun puak agama ini lupa demografi Lubnan yang bergolak
memaksa rakyat penyokong sebuah parti yang mempunyai tentera sendiri.
Malaysia tidak bergolak dan rakyat mahukan pentadbiran kelas 1
sebagaimana di Eropah. Hezbollah akan lingkup punah jahanam jika
bertanding di Malaysia. Majoriti rakyat Malaysia akan menolak penampilan
keras amalan parti itu.
Majlis syura di atas
Atas
semangat Hezbollah inilah puak agama menunjukkan kuasa dalam krisis MB
Selangor pada pertengahan 2014 lalu. Mereka yang menguasai Majlis Syura
Ulama PAS memveto keputusan AJK PAS Pusat melantik Dr Wan Azizah sebagai
MB baru Selangor.
Malah dikemuncaknya, majlis syura telah
memveto ketetapan Majlis Presiden Pakatan Rakyat yang mencalonkan Dr Wan
Azizah sebagai calon tunggal. Belum pernah terjadi jawatankuasa dalaman
parti dibenar memveto keputusan yang dibuat dalam mesyuarat antara
parti-parti. Tetapi majlis syura melakukannya. Menonjolkan mereka paling
berkuasa di negara ini!
Tauladan itulah yang diikuti DAP dalam
konvensyen mereka pada pertengahan Disember lalu dengan mengeluarkan
usul agar PAS balik kepada perjuangan Pakatan tanpa Hudud. DAP mengusul
agar Pakatan membincangkan secara mendalam mengenai langkah PAS
memanggil sidang khas DUN berkenaan Hudud.
Akibatnya, seluruh
kepimpinan PAS menghentam DAP. Rakyat melihat tindakan pemimpin PAS itu
lucu kerana merekalah yang membuat duluan ketika majlis syura memveto
pencalonan Dr Wan Azizah sebagai MB baru Selangor beberapa bulan lalu.
Adakah
puak agamawan ini mahu memberitahu dunia jika PAS melakukannya maka ia
sesuatu yang boleh diterima tetapi jika parti lain melakukannya maka
tindakan itu tidak boleh diterima sama sekali. Apakah jenis perjuangan
yang ditunjukkan oleh pemimpin PAS ini?
Tidak cukup dengan imej
tidak peduli dengan bantahan parti sekutu, PAS juga sejak krisis MB
Selangor tidak lagi peka dengan perjuangan rakyat. PAS bergelut untuk
memastikan Hadi terus berkuasa, mencari jalan untuk memusnahkan golongan
profesional.
Hari-hari yang berlalu digunakan oleh puak agamawan
bukan untuk membela kebajikan rakyat tetapi mempertahankan struktur
ulama agar terus menguasai parti. Ekonomi negara jatuh, seorang pun
ulama PAS tidak mengeluarkan kenyataan. Hanya pemimpin DAP dan PKR
sahaja yang bersungguh-sungguh menyerang BN dalam isu 1MDB dan kejatuhan
nilai ringgit.
Hj Hadi kelihatan tidak mahu ambil tahu mengenai
nilai ringgit, Nik Abduh yang kuat menghentam Anwar bersuara mengenai
pasukan bola sepak, Tantawi hulubalang mempertahankan Khalid Ibrahim
tidak mengeluarkan satu kenyataan pun mengenai prestasi ekonomi.
Adakah
kepimpinan yang tidak tahu apa-apa ekonomi seperti ini mampu meyakinkan
rakyat mereka berupaya memimpin negara? Sebaliknya, tokoh-tokoh ustaz
muda PAS itu akan melompat dan mengaum jika Hj Hadi disentuh atau
dikritik.
Politik matang
Politik PAS yang mencapai tahap
kematangan pada era ustaz Fadzil kini kembali bertaraf kampung dan
pondok. Tindakan Tantawi, Nik Abduh, Zuhdi dan lain-lain yang tidak
memperdulikan hal-hal rakyat tidak ubahnya seperti JKKK Umno yang
bertempik, bergaduh dalam isu pengagihan peruntukan tetapi diam membisu
apabila Tanah Rizab Melayu dilelong pemimpin Umno.
Begitu
lemahnya idealism kepimpinan PAS, taksub dan asabiyah selepas lebih
sedekad pemergian ustaz Fadzil. Maka melihat kepada kemerosotan itu
tidak menjadi kesalahan sebahagian ahli PAS menubuhkan Pasma dan menjadi
NGO pendesak agar PAS kekal dalam Pakatan.
Namun bukan
pengekalan PAS bersama Pakatan yang sepatutnya diperbincangkan oleh
golongan yang rasional itu tetapi penghijrahan untuk menubuhkan parti
baharu. Atau sekurang-kurangnya mereka mengerakkan akar umbi menuntut
PAS kembali kepada perjuangan era ustaz Fadzil.
Jika puak
profesional sayangkan rakyat maka mereka perlu berkorban menentang
golongan ustaz yang mahu membuat PAS menjadi parti jumud sehingga lebih
buruk prestasinya berbanding Perkasa dan Isma.
Pada 2015, negara
akan mengalami krisis ekonomi. Rakyat perlukan parti yang boleh membela
kebajikan mereka bukannya parti yang sibuk mempertahankan golongan
tertentu memimpin parti.
Jika golongan profesional menubuhkan
parti baharu, rakyat yang kelemasan akan mengundi mereka sebagai jalan
penyelamat. Orang yang terdesak tidak akan mengambil kira ustaz atau
profesional dan tidak akan mengambil kira PAS atau PasMa. Apabila Umno
BN telah gagal dan mereka sengsara maka sesiapa sahaja yang mahu membawa
perubahan akan disokong.
Perjuangan Parti Keadilan dan
Pembangunan atau AK parti di Turki perlu dijadikan contoh. Rakyat pernah
mengundi parti Refah yang diketuai oleh Necmettin Erbakan sebagai
pemerintah tetapi dengan sikap keras golongan ustaz maka kerajaan tidak
bertahan lama.
Lalu golongan profesional dalam parti itu keluar
dan menubuhkan AK. Golongan ulama pula menubuhkan Saadet. Ternyata
profesional AK mampu mentadbir Turki sejak pilihan raya 2002 sehingga ke
hari ini. Golongan profesional PAS perlu bertindak berani.
Tiada
guna berjuang bersama para agamawan tetapi apabila pemimpin PAS membuat
keputusan bersama parti lain dalam Pakatan maka majlis syura akan
memveto. Nabi Muhammad saw pun menghormati perjanjian Hudaibiyah dengan
kaum kafir Quraisy, inikan pula PAS bersama rakan kerjasama dalam
Pakatan.
Golongan profesional tidak perlu dibutakan dengan
retorik ulama PAS dalam perjuangan Islam. Allah dan rasul mengutamakan
hamba yang mentaati janji. Bukan pemimpin yang memungkiri janji dan
mencetuskan permusuhan dalam satu pakatan kerjasama.
Kembali semangat Fadzil
Sekiranya
puak profesional terlalu sayangkan PAS, sekurang-kurangnya mereka
membuat gerakan kembali kepada semangat Fadzil Noor. Apa yang dilakukan
oleh puak ulama dan Hj Hadi sudah jauh terpesong daripada landasan yang
diasaskan oleh Fadzil. Fadzil sendiri pernah mengakui sekiranya
profesional memimpin PAS tidak menjadi kesalahan asalkan terus
mengekalkan perjuangan Islam.
Ulama PAS berbangga dengan Dr
Burhanuddin al Helmy sebagai contoh ikutan, sedangkan tokoh itu bukanlah
ulama yang rigid kepada kepimpinan ulama. Tokoh itu bekerjasama dengan
puak sosialis dan penjajah Jepun pada zaman perang dunia kedua.
Ulama
PAS tidak mempunyai contoh yang sesuai yang menjustifikasikan sikap
berdolak-dalih mereka hari ini. Para agamawan itu sebanarnya sedang
mencipta sejarah yang tidak didahului oleh mana-mana tokoh dalam
perjuangan Islam Malaysia.
Malangnya, sejarah itu ke arah yang
salah dan tidak demokratik. Sedangkan rakyat Malaysia sedang bergerak
untuk menjadi lebih demokratik daripada sebelumnya.