GST Kurang Sesuai Dilaksanakan – Kementerian Kewangan

 


IMG_1854

GST cenderung bersifat regresif kerana golongan berpendapatan rendah membelanjakan bahagian yang lebih besar daripada pendapatan mereka untuk penggunaan, berbanding golongan berpendapatan lebih tinggi.

KUALA LUMPUR, 24 Nov – Kementerian Kewangan (MOF) memaklumkan, Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) kurang sesuai dilaksanakan buat masa ini, ketika tahap pendapatan rakyat belum tinggi mencapai nilai ambang dan cabaran kos sara hidup menjadi isu utama.

Menurut MOF, kerajaan sedia maklum mengenai kelebihan GST dari segi kecekapan kutipan, ketelusan dan mekanisme kredit cukai input, namun pilihan sistem percukaian yang dilaksanakan mesti mengambil kira kemampuan rakyat.

“GST cenderung bersifat regresif kerana golongan berpendapatan rendah membelanjakan bahagian yang lebih besar daripada pendapatan mereka untuk penggunaan, berbanding golongan berpendapatan lebih tinggi.

Walaupun tanpa jumlah tambahan itu, jumlah SST yang diunjurkan Kementerian Kewangan (MOF) mencecah RM46.7 bilion bagi 2025, lebih tinggi berbanding kutipan di bawah Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) pada 2017 sebanyak RM44.3 bilion.

“Justeru, kerajaan berpandangan pelaksanaan GST pada masa ini kurang sesuai,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat, semalam.

Kementerian itu menjawab soalan Mohd Isam Mohd Isa (BN-Tampin) mengenai pendirian rasmi terkini kerajaan berhubung cadangan untuk menggabungkan kedua-dua elemen GST dan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) terhadap sistem percukaian negara, serta bagaimana kementerian ingin memastikan rakyat dan peniaga tidak menjadi mangsa percubaan dasar percukaian yang tidak mempunyai hala tuju yang jelas.

Malah, MOF menjelaskan, mekanisme sistem SST yang dilaksanakan ketika ini berbeza dengan GST kerana tidak memindahkan beban cukai secara automatik kepada pengguna akhir.

Sebaliknya, pihak peniaga mempunyai fleksibiliti untuk menentukan sama ada mahu menyerap sebahagian kos berkenaan atau memindahkannya kepada pembeli.

“Sistem ini sedia ada mengambil kira ciri-ciri terbaik daripada SST dan GST.

“Objektif penambahbaikan sistem SST adalah untuk mengurangkan kesan cukai berganda,” katanya.

Untuk mencapai objektif berkenaan, kerajaan sudah mengambil langkah secara bersasar untuk mengurangkan kesan cukai berganda, antaranya melalui penambahbaikan kemudahan layanan Cukai Jualan (CJ) dan layanan Cukai Perkhidmatan (CP).

Justeru katanya, kerajaan berpegang untuk mengekalkan SST kerana ia memberi ruang untuk menetapkan skop percukaian secara bersasar, yang mana barang dan perkhidmatan asas yang lazimnya digunakan majoriti rakyat, secara amnya tidak dikenakan cukai.

“Kerajaan akan terus melaksanakan penambahbaikan SST dari semasa ke semasa melalui penilaian bantuan teknikal daripada organisasi antarabangsa dan sesi libat urus dengan pemegang taruh pakar percukaian tempatan untuk mendapatkan cadangan penambahbaikan dasar sistem cukai negara bagi melindungi dan meminimumkan impak kepada rakyat, industri dan peniaga,” katanya.



No comments: