
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjawab soalan pada Sesi Waktu Pertanyaan Perdana Menteri (PMQT) di Dewan Rakyat pada 24 November 2026. Foto Parlimen Malaysia
KUALA LUMPUR, 24 Nov – Permohonan Malaysia untuk menghantar 10,000 pelarian Rohingya dari negara ini, belum mendapat persetujuan Kerajaan Turkiye, jelas Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Penjelasan tersebut dimaklumkan Perdana Menteri semasa sesi Waktu Pertanyaan Perdana Menteri (PMQT) seraya berkata, beliau menerima penjelasan dan pengesahan daripada republik itu berhubung permohonan tersebut, dua hari lalu.
“Malaysia seperti yang disuarakan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, memohon dipertimbangkan untuk menyelesaikan sebahagian daripada masalah kita.

“Tetapi pihak Turkiye secara rasminya belum bersedia menimbangkannya atas alasan sedang menanggung lebih empat juta pelarian dari Negara Teluk, Arab dan beberapa negara jiran,” katanya.
Beliau menjawab soalan tambahan Hassan Abdul Karim (PH-Pasir Gudang) pada sesi berkenaan ekoran kenyataan Ahmad Zahid yang menarik balik pengumuman beberapa hari lalu.
Hassan meminta penjelasan sama ada benar Kerajaan Turkiye bersetuju menerima 10,000 pelarian Rohingya dari Malaysia.

Anwar berkata, keputusan Kerajaan Turkiye itu sudah dimaklumkan kepada Ahmad Zahid dan akan dibangkitkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri, Jumaat ini.
“Menteri Luar dan Kementerian Luar juga sudah sedia maklum tentang perkara ini, iaitu dasar kita adalah betul, tetapi ada negara yang belum bersedia,” katanya.
Dalam sesi sama, Anwar turut menjawab soalan Hassan mengenai sama ada Malaysia berasa bersalah kerana menjemput Ketua Kerajaan Junta Myanmar ke Malaysia baru-baru ini, susulan keputusan Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICJ) di The Hague, Belanda, pada 19 November lalu yang memutuskan Pasukan Keselamatan Myanmar membunuh beribu-ribu orang awam Rohingya di negara itu.

Anwar berkata, keputusan untuk mengundang pemimpin Myanmar dibuat sebelum keputusan ICJ diumumkan.
Beliau menegaskan pendirian Malaysia adalah jelas, iaitu mempertahankan hak asasi rakyat mana-mana negara serta menghormati keputusan ICJ.
“Adakah dengan mengundang Presiden Myanmar, Min Aung Hlaing, ke Malaysia dapat membantu menyelesaikan masalah negara? Jawapannya, ya.
“Usaha mengharapkan negara ketiga untuk menyelesaikan masalah ini tidak berhasil. Begitu juga mengharapkan mereka dibawa pulang dengan mudah pun tidak berlaku.

“Jadi, kita memilih untuk berunding. Hasil rundingan ini, kita berjaya mencapai persetujuan yang selari dengan keputusan ICJ, iaitu menjamin kepulangan secara selamat dan bermaruah. Itulah istilah yang digunakan dalam penghakiman ICJ,” katanya.
No comments:
Post a Comment