Meski Berdepan Pelbagai Cabaran, AS Kekal Rakan Dagang Penting Malaysia – PM Anwar

 


IMG_1927

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hadir pada Majlis Pengumuman Tempahan Pesawat Badan Lebar Jarak Jauh & Pemeteraian Dokumen Pengesahan Tempahan Pesawat Milik Malaysia Aviation Group (MAG) di Kuala Lumpur pada 25 November 2026.

KUALA LUMPUR, 25 Nov – Meskipun berdepan pelbagai cabaran termasuk isu tarif dan persekitaran ekonomi tidak menentu, Amerika Syarikat (AS) kekal sebagai rakan dagang dan pelaburan nombor satu Malaysia.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, kepentingan hubungan kedua-dua negara akan terus diperkasa dan diperkukuh melalui pelaksanaan kerjasama pelbagai industri serta hubungan dua hala demi memastikan rakyat dan ekonomi terus menerima manfaat buat jangka masa panjang.

Sebagai sebuah negara perdagangan, Anwar menegaskan, Malaysia perlu mengekalkan hubungan baik dengan semua negara, termasuk AS, bagi memastikan kepentingan ekonomi dan peluang pelaburan terus terpelihara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hadir pada Majlis Pengumuman Tempahan Pesawat Badan Lebar Jarak Jauh & Pemeteraian Dokumen Pengesahan Tempahan Pesawat Milik Malaysia Aviation Group (MAG) di Kuala Lumpur pada 25 November 2026.

“Walaupun terdapat pelbagai retorik politik dan kebimbangan berkaitan tarif, Amerika Syarikat masih merupakan rakan dagang dan pelaburan nombor satu Malaysia.

“Saya percaya hubungan ini perlu diteruskan. Melalui kerjasama industri dan hubungan antara kedua-dua pihak, kita perlu memastikan hubungan ini terus diperkukuh demi kepentingan rakyat dan ekonomi negara,” katanya.

Anwar berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pengumuman Tempahan Pesawat Badan Lebar Jarak Jauh dan Pemeteraian Dokumen Pengesahan Tempahan Pesawat Milik Malaysia Aviation Group (MAG), hari ini.

Mengulas lanjut, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, hubungan erat dengan AS amat penting dalam menyokong perkembangan industri penerbangan negara, khususnya dari aspek perhubungan, pelancongan dan perdagangan.

Untuk itu, Perdana Menteri mahu kerjasama sedia ada diteruskan bagi memastikan industri penerbangan negara kekal berdaya saing dan mampu menyesuaikan diri dengan perubahan persekitaran global.

“Saya berpendapat Malaysia mempunyai keupayaan untuk memberikan tumpuan kepada kepentingan negara dan mengendalikan hubungan ini berdasarkan dasar luar kita yang menghormati kepentingan hubungan perdagangan serta prinsip kepusatan.

“Sebagai sebuah negara perdagangan, keperluan untuk menjalin hubungan dengan semua negara amat penting dan menjadi tunjang kepada ekonomi kita,” katanya.



No comments: