Memberikan penghormatan terakhir buat sahabat, Sasterawan Negara A. Samad Said di Masjid Saidina Abu Bakar as-Siddiq, Bangsar.
Negara kehilangan sosok pendidik bangsa yang menumpahkan seluruh jiwa dan hayatnya kepada sastera, seni dan budaya, dan lewat tulisan serta puisinya, Pak Samad mengajar kita untuk lebih peka terhadap derita insan dan lebih berani menyuarakan kebenaran.
Pak Samad yang saya kenali adalah antara sahabat yang tetap setia tatkala saya terbungkam di penjara, dan surat-surat yang kami utuskan antara satu sama lain memberi saya kekuatan dalam menempuh saat-saat sukar, sementara persahabatan kami terus mekar selepas saya dibebaskan.
Ketika kita bangkit melawan kezaliman, Pak Samad teguh dengan prinsipnya, menyuntik semangat lewat kata-katanya, menyumbang buah fikiran dan menjadikan puisi sebagai senjata perjuangan, dengan suara yang lembut namun pendirian yang tegas.
Selamat jalan, Pak Samad. Surat-suratmu akan sentiasa terpahat dalam ingatan, begitu juga kesetiaan seorang sahabat yang hadir tatkala saya amat memerlukannya.
Saya dan Azizah mendoakan agar seluruh ahli keluarga Pak Samad dikurniakan kekuatan serta ketabahan dalam menempuh ujian kehilangan ini.
Semoga Allah SWT mengampuni segala dosa Pak Samad, merahmati rohnya dan menempatkannya dalam kalangan hamba-Nya yang soleh.
Al-Fatihah.







No comments:
Post a Comment