CnP
Satu hantaran Penasihat Geng Ustaz Malaysia, Kamalulhysham Mohd Suhut mencetuskan perbincangan hangat apabila beliau mengingatkan supaya usaha mencegah kemungkaran tidak hanya lantang terhadap pihak di luar jemaah tetapi diam apabila ia berlaku dalam kelompok sendiri.
“Cegah kemungkaran jangan di luar jemaah saja tapi bila sesama jemaah bisu seribu bahasa. Jangan jadi syaitan bisu sudah,” tulisnya di Facebook.
Kamalulhysham tidak menyebut PAS, mana-mana pemimpin atau isu tertentu dalam hantaran tersebut.
Bagaimanapun, perbincangan yang muncul di ruangan komen menyebabkan hantaran itu mula dikaitkan oleh sebahagian pengguna dengan pergolakan atau masalah dalam lingkungan sebuah jemaah politik.
Antara yang mencuri perhatian ialah komen yang menyebut tentang teguran sesama pimpinan, mesyuarat agung dan muktamar.
Seorang pengguna mencadangkan supaya teguran dibuat secara dalaman melalui mesyuarat AJK, mesyuarat agung, muktamar atau secara individu.
Kamalulhysham kemudian membalas dengan mempersoalkan ruang tersebut sambil menulis, “ker muktamar has become a briefing”.
Dalam satu lagi balasan, beliau turut menyebut mengenai “soal rumah tangga” dan kemungkinan ada pihak yang mahu merosakkan rumah tangga tersebut, namun sekali lagi tidak menjelaskan secara khusus siapa atau organisasi yang dimaksudkan.
Perbincangan menjadi lebih menarik apabila beberapa individu dalam ruangan komen mula bercakap mengenai “jemaah”, “pimpinan” dan “muktamar”, istilah yang menyebabkan sebahagian pembaca mengaitkan perbincangan tersebut dengan PAS.
Geng Ustaz Malaysia sendiri selama ini dilihat mempunyai hubungan dan sokongan yang rapat dengan lingkungan PAS, menyebabkan hantaran berkenaan lebih mendapat perhatian.
Namun setakat hantaran tersebut, tidak ada kenyataan secara jelas daripada Kamalulhysham bahawa tegurannya ditujukan kepada PAS.
Apa yang jelas, mesejnya cukup keras.
Jangan hanya lantang mencegah kemungkaran apabila melibatkan orang luar, tetapi memilih untuk menjadi “bisu seribu bahasa” apabila ia berlaku dalam jemaah sendiri.
Dan daripada reaksi yang muncul di ruangan komen, nampaknya ramai juga sedang cuba meneka siapa sebenarnya yang sedang ditegur.

No comments:
Post a Comment