CnP
DR SOLEHAH: ANTARA MERENTASI DISIPLIN, HIPOTEIS, BEBAN PEMBUKTIAN & IMEJ UIAM
[Mohon maaf, saya tak boleh nak pendekkan artikel ini tapi demi untuk faham, bacalah]
Hakikinya dalam pemikiran saya, Personaliti Dt Solehah mengingatkan saya kepada Datuk Seri Fadhlina Sidek. Tahniah DS.
Pertamanya, sy tak kenal dan tak pernahpun bertemu Dr Solehah ni, cuma terpanggil dengan hipotesisx beliau yang sangat luar biasa, pelik dan melawan arus. Bila isu beliau vs UIAM heboh di media, barulah saya gali untuk mengenali beliau secara atas kertas. Sementelah pula salah seorang ahli JK inkuiri ialah sahabat baik saya.
Kali pertama terdengar pandangan dia, kalau tak silap di tiktok, saya tertanya ‘sapa dia ni’?, dan “Adakah beliau seorang ahli sejarah atau ahli arkeologi berdasarkan latihan akademik formalnya?”, jawapannya tidak. Berdasarkan carian di AI Pro, yang saya temui, beliau memperoleh Ijazah Sarjana Muda Bahasa Arab di IIUM pada 1995, kemudian Sarjana pada 1998 dan PhD Bahasa Arab (pengkhususan Philosophy of Arabic Grammar) pada 2005. CV beliau juga menyatakan beliau sudah menjadi Assistant Lecturer IIUM pada 1995–1998. Dia dan IIUM mendapat perhatian besar apabila pandangannya bahawa orang Rom mungkin mempelajari teknologi pembinaan kapal daripada orang Melayu menjadi tular. Beliau mempertahankan pandangan tersebut dan mengatakan kesimpulannya berasal daripada hipotesis penyelidikan yang dikembangkannya selepas PhD pada 2005. Maka, disini ada Beban pembuktian bukan sahaja terletak pada Dr Solehah tetapi juga kepada UIAM.
Jujur cakap, bila saya tahu dia hanya pakar bahasa Arab, bukan sejarah bagai, saya hanya tersenyum dan cuba melupakan dan saya anggap pandangan itu gila atau cuba mencari kekuatan kerana dia tidak ada langsung bidang sejarah atau sejarah maritim; arkeologi; arkeologi maritim; antropologi; kejuruteraan/perkapalan; geologi; dan sejarah teknologi atau sejarah Rom. Walau bagaimanapun, dalam dunia akademik, ia membolehkan seorang doktorate melakukan kajian antara disiplin atau merentas bidang tetapi apabila membuat dakwaan sejarah atau arkeologi yang besar, kekuatan dakwaan itu bergantung kepada bukti primer, metodologi disiplin berkenaan, pentarikhan, bukti material/arkeologi dan semakan pakar bidang, bukan gelaran profesor semata-mata. Maka, Saya cuba mencari sebab dia merentas disiplin ilmu dan kepakaran. Saya menemui buku beliau bertajuk The Philosophy of Arabic Grammar: Its Impact on World History and Human Civilization (Including Malay Civilization) (2025). Buku Ini mungkin jambatan intelektual yang beliau gunakan untuk bergerak daripada pakat linguistik bahasa Arab kepada dakwaan mengenai sejarah ketamadunan Melayu. Saya rasa bahagian inilah yang paling menarik untuk kita lihat seterusnya merujuk kepada apakah sumber dan kaedah yang beliau gunakan sehingga daripada “falsafah nahu Arab” boleh sampai kepada kesimpulan “Rom belajar membuat kapal daripada Melayu”. Kita boleh semak hujah beliau satu demi satu dan bezakan mana fakta, hipotesis, inferens dan spekulasi.
Daripada pemyataan di medsos, beliau mengatakan ‘pandangan itu ialah hipotesis beliau. Sebagai doktorate, saya bertanya pula adakah dengan hanya bersandarkan ‘hipotesis’, kita boleh keluarkan penyataan besar seperti itu. Pada saya tidak, kerana Hipotesis sahaja tidak memadai untuk dijadikan sandaran bagi mendakwa sesuatu itu sebagai teori yang telah terbukti. Dalam penyelidikan akademik, istilah-istilah ini mempunyai kedudukan yang berbeza yang mana Hipotesis ialah andaian atau penjelasan sementara yang perlu diuji. Ia boleh menjadi titik permulaan penyelidikan, tetapi belum menjadi bukti. Secara mudahnya dalam isu dakwaan sejarah seperti “orang Rom belajar teknologi membuat kapal daripada orang Melayu”, hipotesis itu sendiri sah untuk dikemukakan. Persoalan akademiknya ialah apakah bukti yang menyokongnya? Kita perlu melihat sekurang-kurangnya kronologi yang konsisten, sumber primer, bukti arkeologi/material, bukti hubungan atau pemindahan teknologi, dan penilaian sarjana bidang berkaitan. Tanpa rantaian bukti tersebut, ia kekal sebagai hipotesis atau spekulasi yang perlu diuji, bukannya fakta sejarah. Maka, saya cuba menulis hipotesis beliau, mungkin begini “Saya berhipotesis bahawa Rom mungkin belajar daripada Melayu.” atau “Berdasarkan bukti A, B dan C, saya berhujah bahawa Rom berkemungkinan belajar daripada Melayu.” Ini satu hujah akademik yang boleh diperdebatkan. Prinsip akademkk yang paling mudah ialah semakin luar biasa, gila dan besar sesuatu dakwaan, semakin kukuh bukti yang diperlukan. Jadi, hipotesis boleh menjadi asas untuk membina dan menguji sesuatu teori atau hujah, tetapi hipotesis semata-mata tidak boleh ditukar menjadi bukti bahawa dakwaan itu benar.
Berbalik kepada isu pemberhentian beliau;, kita perlu berlaku adil kepada beliau tetapi tegas terhadap kaedah ilmu. Saya mengandaikan adanya suara dari langit. Dr Solehah mempunyai latar akademik yang sah dan kepakaran utamanya dalam bahasa serta linguistik Arab. Maka persoalannya bukan sama ada beliau “layak bercakap” tentang sejarah Melayu. Dunia akademik tidak melarang seseorang merentas disiplin. Persoalan sebenar ialah sejauh mana sesuatu dakwaan disokong oleh bukti dan metodologi bidang yang disentuh. Beliau wajib membuktikannua kerana dia membawa nama dan imej UIAM.
Saya suka dengan hipotesis beliau kerana hipotesis yang berani kadangkala membuka jalan kepada penemuan baharu. Tetapi keberanian mengemukakan hipotesis tidak sama dengan kejayaan membuktikannya. Apabila hipotesis disampaikan kepada masyarakat sebagai suatu kepastian sejarah, sedangkan rantaian bukti primer, arkeologi, kronologi dan pengesahan pakar masih dipertikaikan, di situlah sempadan antara wacana ilmiah dan dakwaan menjadi kabur.
Kita jangan terpengaruh dengan gelaran “Profesor” atau “Dr” sebagai pengganti kepada bukti. Gelaran Prof sekarang ialah gred jawatan yanb menunjukkan pencapaian dan kedudukan akademik seseorang; ia tidak menyebabkan setiap kenyataannya secara automatik menjadi benar. Dalam ilmu, yang diuji bukan siapa yang bercakap, tetapi apa buktinya, bagaimana kaedahnya dan sama ada kesimpulannya mampu bertahan apabila dicabar.
Pada masa yang sama, mengkritik Dr Solehah dengan ejekan peribadi sebagaimana kita kritik ‘mata jegil’ pada tokoh satu lagi, tidak membantu perkembangan ilmu. Jika hujahnya lemah, patahkan hujah dengan bukti. Jika metodologinya bermasalah, tunjukkan masalah metodologi. Jika beliau mempunyai bukti baharu yang kukuh, berikan ruang untuk bukti itu dinilai. Masalahnya, Dr Solehah tidak hadir ke hadapan JK inkuiri.
Jauh di sudut hati saya; Kes Dr Solehah akhirnya mengajar dan memberi kita pengajaran iaitu;
“Jangan kita menolak sesuatu pandangan hanya kerana siapa yang mengucapkannya, tetapi jangan pula kita menerimanya hanya kerana yang mengucapkannya bergelar Profesor. Dalam dunia ilmu, kebenaran akhirnya berdiri di atas bukti.


No comments:
Post a Comment