Bil air tiba-tiba naik cecah RM1,200, wanita bengang dakwa AKSB lepas tangan

 




Seorang penduduk di Kelantan meluahkan rasa tidak puas hati terhadap pengurusan Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) selepas didakwa berlaku lonjakan mendadak bil air mencecah RM1,200.

Perkongsian individu bernama soffy89_ di media sosial itu menjadi tular selepas dia mempersoalkan jumlah bil yang dianggap tidak munasabah untuk sebuah keluarga kecil yang cuma tiga orang.

Menurutnya, selepas menghubungi talian khidmat pelanggan AKSB, dia dimaklumkan kemungkinan berlaku kebocoran paip di kawasan rumah.

Namun apa yang membuatkan dia tidak berpuas hati adalah respon pihak AKSB yang seperti ‘lepas tangan’ enggan memeriksa sama ada berlaku kebocoran paip atau tidak.

Syarikat itu mengatakan ia adalah tanggungjawab pemilik rumah untuk memeriksa dan membaiki sendiri.

“Air Kelantan Sdn Bhd buat hal lagi. Kali ni bil air RM1221.85. Itu caj semasa ye. Tak ada tunggakan langsung sebab kita memang bayar tiap-tiap bulan on time. 

“Bila telefon careline, dia cakap mungkin paip bocor. Selepas itu bila cakap AKSB kena check lah tengok paip bocor ke tak, dan bocor dekat mana. Dia jawab, ramai orang tak tahu kalau dah pasang meter itu tanggungjawab sendiri. Untuk check dan baiki,” luahnya di Threads.

Berdasarkan bil yang dikongsikan, bacaan meter menunjukkan penggunaan sebanyak 696 meter padu (m³) dengan caj semasa RM1,221.85.

Selepas pelarasan anggaran sebanyak RM409.80 diberikan, jumlah perlu dibayar masih mahal mencecah RM812.05.

Pengguna itu berkata dia terkejut apabila dimaklumkan bahawa dia boleh membuat rayuan namun rayuan yang ditawarkan bukan untuk pengecualian bayaran, sebaliknya hanya membolehkan jumlah tersebut dijelaskan secara ansuran.

“Kemudian dia boleh cakap lagi. Lepas diskaun hanya kena bayar RM800 lebih. Tapi jangan risau. Boleh buat rayuan katanya. Ingat kan rayuan tak payah bayar. Rupa-rupanya buat rayuan untuk bayar ansuran beberapa bulan. Masalahnya tetap kena bayar.

“Kita tak nak bayar sebab kita tak guna air banyak sampai seribu lebih. Dalam rumah pun cuma ada kita, suami dengan anak sorang sekolah rendah. Apa ke bangang nak kena bayar bil sampai 800 lebih.

“So sekarang ni memang tak ada pilihan. AKSB tetap suruh bayar. Ini lah ye tuan puan yang dipanggil negeri berkebajikan,” tambahnya lagi.

Sementara itu, seorang pengguna media sosial berpendapat penggunaan pam air mungkin menjadi antara faktor yang menyebabkan kebocoran berlaku.

Menjawab komen itu, soffy89_ mengakui rumahnya menggunakan pam air, tetapi ia disebabkan tekanan air di kawasan berkenaan terlalu rendah.

“Kalau tak pakai pam, air perlahan sangat. Kebanyakan rumah di kawasan ini pun menggunakan pam air,” jelasnya.






No comments: