Ini baharu betul boleh lawan Ah Long! Adun Duyong puji pinjaman TEKUN lulus 24 jam


 


Langkah TEKUN Nasional mempercepatkan kelulusan pinjaman sehingga RM20,000 dalam tempoh 24 jam menerima pujian daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Duyong, Mohd Noor Helmy Abdul Halem yang menyifatkannya sebagai antara pendekatan terbaik untuk membantu usahawan kecil dan mengekang kebergantungan kepada Ah Long.

Menurut beliau, inisiatif di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) itu memberi peluang kepada golongan peniaga dan usahawan mikro mendapatkan akses pembiayaan yang lebih cepat serta mudah.

“Terima kasih kepada Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi atas inisiatif TEKUN Nasional yang membolehkan proses kelulusan pinjaman RM20,000 ke bawah dibuat dalam tempoh 24 jam, jika pemohon memenuhi syarat yang ditetapkan,” katanya dalam satu kenyataan di media sosial.

Bagaimanapun, beliau berharap proses pengeluaran dana kepada peminjam yang telah diluluskan turut dapat dipercepatkan supaya manfaat tersebut benar-benar dirasai rakyat.

“Cuma kalau boleh, proses nak lepaskan duit pinjaman itu janganlah sampai 24 hari pula. Kalau boleh 24 jam juga lebih baik,” katanya berseloroh.

Mohd Noor Helmy turut berpandangan bahawa penilaian terhadap rekod kewangan pemohon menerusi sistem CTOS dan CCRIS perlu dibuat secara lebih menyeluruh serta mengambil kira latar belakang individu berkenaan.

Menurutnya, terdapat pemohon yang mempunyai rekod kredit kurang baik bukan kerana sikap culas membayar hutang, sebaliknya disebabkan kesukaran hidup yang pernah dihadapi.

“Perlu dinilai sama ada rekod yang tidak cantik itu berpunca daripada kesusahan hidup atau memang tabiat peminjam. Dalam perkara ini, mungkin boleh ada sedikit kelonggaran dalam penilaian,” katanya.

Beliau turut memuji usaha Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong yang menurutnya telah memulakan beberapa langkah bagi mempermudah urusan rakyat mendapatkan bantuan dan kemudahan kerajaan.

Dalam masa sama, Mohd Noor Helmy menggesa kerajaan memperketat kawal selia terhadap industri pemberi pinjam wang berlesen bagi mengelakkan penyalahgunaan dan eksploitasi terhadap peminjam.

Beliau berkata, Kementerian di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), yang diterajui Hannah Yeoh, boleh memainkan peranan lebih aktif dalam memastikan pemegang lesen mematuhi syarat yang ditetapkan.

Menurutnya, kerajaan bukan sahaja perlu lebih berhati-hati dalam meluluskan lesen baharu, malah perlu memastikan pemantauan dan tindakan penguatkuasaan dibuat secara konsisten terhadap setiap aduan yang diterima.

“Jangan mudahkan pemberian lesen. Jika lesen sudah diberikan, pantau sungguh-sungguh. Setiap aduan perlu disiasat dan tindakan diambil tanpa memihak kepada syarikat,” katanya.

Beliau percaya gabungan akses pembiayaan mikro yang cepat, mudah dan sah di samping penguatkuasaan lebih tegas terhadap pemberi pinjam wang akan menjadi senjata paling berkesan dalam membendung kegiatan Ah Long yang terus membebankan rakyat.





No comments: