
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan Sidang Media Krisis Bekalan Global selepas mempengerusikan Mesyuarat Mingguan MTEN di Putrajaya pada 5 Mei 2026.
PUTRAJAYA, 5 Mei – Mesyuarat mingguan Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) hari ini memutuskan penganjuran Program Jualan Rahmah MADANI (PJRM) ditingkatkan kepada setiap minggu di semua kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi mengurangkan tekanan krisis bekalan global ketika ini.
Arahan tersebut dikeluarkan Perdana Menteri ketika mengadakan sidang media Krisis Bekalan Global di sini hari ini.
Menurut Datuk Seri Anwar Ibrahim, tumpuan juga perlu diberikan supaya PJRM bukan hanya diadakan di kawasan pinggir bandar, malah ke setiap kampung terpilih.

“Kita hendak pastikan juga penglibatan peniaga kecil. Saya percaya ia dapat mengurangkan sedikit tekanan,” katanya.
Ia bagi memberi peluang kepada peniaga kecil di kawasan terpencil memperoleh pendapatan berbanding peruncit besar yang tertumpu di kawasan bandar dan pinggir bandar.

PJRM dilaksana di kesemua Dewan Undangan Negeri (DUN) di seluruh negara dengan anggaran kira-kira 25,000 program telah dianjurkan setakat ini.
No comments:
Post a Comment