30 April 2026
Persoalan penting sekarang ialah sejauh manakah Aminuddin Harun mampu bertahan lagi sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan?
Ini berikutan UMNO Pusat tetap menyokong pendirian 14 Adun parti itu menarik sokongan terhadap beliau, meskipun UMNO juga mahu kerajaan perpaduan PH/BN terus dikekalkan mentadbir negeri itu.
Ertinya sekarang, kerajaan perpaduan PH/BN kekal mempunyai majoriti iaitu 31 daripada 36 kerusi (17 Adun PH dan 14 Adun BN), tetapi Aminuddin tiada lagi majoriti sebagai Menteri Besar.
Aminuddin hanya tinggal ada 17 sokongan daripada 36 Adun keseluruhan di negeri itu.
Dengan hanya disokong oleh 17 Adun PH, tetapi tidak lagi disokong 14 Adun UMNO, Aminuddin tiada lagi sokongan majoriti.
Yang boleh kekal sebagai kerajaan hanyalah kerajaan perpaduan PH/BN.
Dalam pertemuan antara Biro Politik UMNO dan Biro Politik PH yang dijadulkan selepas ini, ketiadaan majoriti dimiliki Aminuddin itu dijangka menjadi faktor penekan paling kuat untuk memaksanya berundur sebagai Menteri Besar.
Selain 31 Adun PH dan BN yang menyokong kerajaan perpaduan PH/BN dikekalkan, lima lagi Adun Negeri Sembilan diwakili oleh PN yang berada di blok pembangkang.
Mereka terdiri daripada tiga Adun PAS dan dua Adun Bersatu.
Semua Adun PN berkenaan, berikutan 14 Adun UMNO menarik sokongan terhadap Aminuddin sebelum ini, telah hadir dengan ikhlas hati menawarkan sokongan bagi membentuk kerajaan baharu bagi menyelamatkan keadaan.
Melalui sokongan yang ditawarkan itu, majoriti mudah iaitu 19 kerusi Dun (14 Adun BN campur 5 Adun PN) sudah diperolehi serta mencukupi untuk membentuk kerajaan negeri yang baharu.
Dengan itu, UMNO Negeri Sembilan kemudian tampil menyatakan mereka sudah ada majoriti mudah untuk mengambil alih kerajaan negeri serta segera memohon untuk mengadap Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.
Tetapi, melalui ketetapan mesyuarat Biro Politik UMNO malam semalam, UMNO jelas menolak tawaran sokongan yang ingin ditawarkan oleh PN itu.
Sombongnya…walhal melalui sokongan PN itu dan jika ia direstui oleh UMNO Pusat, selain kerajaan baharu boleh dibentuk di Negeri Sembilan, masa depan UMNO juga mampu mengorak ke arah lebih baik.
UMNO sebaliknya ingin kekal bersama PH dalam kerajaan negeri, meskipun DAP memiliki 11 daripada 17 kerusi dalam gabungan itu.
Yang tidak berubah pada UMNO hanyalah keinginan menukar dan menjatuhkan Aminuddin sebagai Menteri Besar.
Diperkirakan bahawa percaturan UMNO ini ialah mereka mahu dan merasakan mampu memiliki kerusi Menteri Besar Negeri Sembilan selepas ini.
Apa Aminuddin nak buat?
Apakah beliau nak duduk diam saja bila kerusinya ingin ditarik dan beliau sanggup jatuh ke lantai begitu saja?
Tanpa niat untuk mengajar, apa lagi menghasut, apa kata jika sekarang Aminuddin cuba mendekati PN agar menyokongnya pula untuk terus kekal sebagai Menteri Besar sehingga habis penggal.
Atau pun PN juga boleh tampil menawarkan sokongan kepada Aminuddin sebagaimana sebelum ini mereka telah memberi sokongan kepada UMNO, tetapi tidak dihargai.
Jika sebelum ini, UMNO Negeri Sembilan telah menerima sokongan 5 Adun PN itu, malah turut mengucapkan terima kasih, namun disebabkan sokongan itu kemudian diketepikan melalui keputusan Biro Politik UMNO, logiknya tentulah bukan suatu kesalahan jika Aminuddin mengambil sokongan yang ditolak oleh UMNO itu.
Sokongan itu boleh diberi dengan tujuan untuk kestabilan serta mengelakkan diadakan pilihan raya yang membazirkan wang rakyat.
Sebagai parti yang sentiasa memikirkan kepentingan rakyat, PN rasanya tiada masalah untuk berbuat demikian.
Yang penting, dengan adanya sokongan PN, Aminuddin mampu menyelamatkan diri dalam Sidang DUN akan datang jika ada usul tidak percaya mahu dibawa oleh UMNO.
Siapa yang patut dilabel gelojoh jika akhirnya Aminuddin dan PN dapat persefahaman begitu? - ShahbudinHusin 30 April2026.
No comments:
Post a Comment