Tiba di sempadan Sungai Golok di Narathiwat tengah hari tadi (berita semalam) untuk bertemu rakan sejawat di Thailand, เศรษฐา ทวีสิน - Srettha Thavisin dalam sesi pertemuan empat mata di Kompleks CIQ Sungai Golok.
Dalam pertemuan ini, saya dan PM Srettha berbicara panjang terkait beberapa isu tertangguh. Alhamdulillah, kami berdua sepakat menyegerakan projek pembinaan jambatan kedua Rantau Panjang-Sungai Golok serta menambah baik jambatan sedia ada yang telah dibina lebih 50 tahun lalu.
Pembinaan jambatan ini bakal merancakkan kesalinghubungan kedua-dua negara serta memangkin pembangunan ekonomi di utara Kelantan dan Selatan Thailand, langsung mencipta limpahan kemakmuran buat rakyat di kedua-dua kawasan.
Saya dan PM Srettha turut mencapai kesepakatan untuk melaksanakan projek memperdalamkan muara Sungai Golok bagi mengatasi isu limpahan air sungai yang menjadi antara punca banjir di Kelantan dan Narathiwat.
Persefahaman ini menggambarkan komitmen jelas Kerajaan Malaysia dan Thailand untuk memastikan pertumbuhan ekonomi di sempadan kedua-dua negara berjalan pantas, sekali gus memberi laluan kepada usaha perdamaian di Selatan Thailand dan pembangunan di utara Semenanjung.
Usai pertemuan empat mata, saya dan PM Srettha bersama-sama delegasi kedua-dua negara diberi taklimat mengenai projek Jambatan Rantau Panjang-Sungai Golok, yang dijangka mula dibina awal tahun depan dan siap penghujung 2026 apabila disegerakan, Insya-Allah.
Saya juga maklumkan pada Menteri Besar Kelantan yang hadir dalam lawatan ini, bahawa Kelantan perlu mengambil peluang daripada projek ini dengan mewujudkan ruang perniagaan baharu yang selesa di kawasan sempadan Rantau Panjang.
Sebaik selesai taklimat, saya dan PM Srettha menyeberangi sempadan menuju ke Malaysia dan bergambar di hadapan Kompleks ICQS Rantau Panjang sebagai simbolik persefahaman dan persahabatan utuh kedua-dua negara.
#MalaysiaMADANI0