[panas] 11 MP UMNO BN ALIH SOKONGAN? PEREBUTAN KERUSI NEGGIRI PAS & BERS...


Pemerhati politik berpendapat dakwaan seorang pemimpin PAS akan wujud gerakan 11 Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) berpaling tadah hanya cubaan menekan Anwar Ibrahim daripada terus fokus mentadbir negara. Mazlan Ali dari Universiti Teknologi Malaysia berkata, cubaan menjatuhkan kerajaan oleh ‘sebahagian kecil Ahli Parlimen’ tidak mungkin berjaya kerana akta antilompat parti dikuat kuasa Oktober 2022 itu memerlukan sokongan secara en bloc oleh sesebuah parti. “Jika betul wujud gerakan daripada BN untuk berpaling tadah, ia boleh berlaku sekiranya presiden parti setuju untuk keluar dan menarik diri daripada kerajaan perpaduan. “Maksudnya semua 30 Ahli Parlimen BN secara konsensus keluar kerajaan…itu boleh berlaku (jatuh kerajaan) tetapi kalau hanya beberapa orang saja yang nak keluar daripada kerajaan, tetapi tidak direstui oleh parti dan presiden Umno…tak boleh juga,” katanya kepada FMT. Beliau mengulas dakwaan Ahli Jawatankuasa PAS Annuar Musa pada 29 Jun lalu bahawa 11 Ahli Parlimen BN diikuti wakil rakyat Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Warisan akan alih sokongan jika Speaker Dewan Rakyat Johari Abdul tidak mengosongkan enam kerusi wakil rakyat Bersatu berpaling tadah. Selasa lalu, Johari memutuskan Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang), Zahari Kechik (Jeli), Suhaili Abdul Rahman (Labuan), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Dr Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang) tidak perlu mengosongkan kerusi. Syaza Shukri dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia bagaimanapun samar terhadap dakwaan Annuar sambil menyifatkan usaha itu sukar dilaksanakan dalam tempoh terdekat. “Dawaan 11 Ahli Parlimen BN alih sokongan kurang berasas kerana ia mungkin hanya cubaan untuk menakut-nakutkan kerajaan perpaduan dan perdana menteri,” katanya. Dalam pada itu, Mazlan berpandangan jika sentimen ‘tebuk atap’ terus dimainkan pemimpin politik, ia seolah-olah mencemar titah Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim yang enggan melayan permintaan mana-mana pihak untuk menggugat kestabilan. “Jika ada siapa-siapa nak tebuk atap mungkin istana tak akan perkenan,” katanya. Bagaimanapun, Ariff Aizuddin Azlan dari Universiti Teknologi Mara tidak menolak keputusan membabitkan enam bekas Ahli Parlimen Bersatu yang menyokong kerajaan bakal ‘melorongkan’ kepada mana-mana wakil rakyat bertindak membelakangi parti. “Ini melibatkan persoalan moral yang perlu diberikan perhatian teliti kerana apa diumumkan speaker tempoh hari secara tidak langsung mewujudkan ‘precedent’ (duluan),” katanya. ============================================================================= Sebelum ini PAS Gua Musang harap wakilnya dipilih PN pada PRK Nenggiri dengan alasan kebimbangan pengundi episod peralihan sokongan berulang jika calon Bersatu diletakkan. Semalam, Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man mengesahkan Bersatu akan mewakili PN pada PRK Nenggiri di sebalik permintaan PAS Gua Musang mahu wakilnya dipilih. (Gambar Facebook) PETALING JAYA: Penganalisis politik berpendapat perebutan kerusi DUN Nenggiri antara PAS dan Bersatu menunjukkan mungkin ada permulaan keretakan hubungan parti utama dalam Perikatan Nasional (PN). Awang Azman Pawi dari Universiti Malaya berkata, keadaan itu mungkin berlaku kerana keduanya ingin menunjukkan kekuatan lebih-lebih lagi tumpuan ramai pasti ke PRK itu dengan kehadiran ramai jentera serta liputan luas media. Menurutnya, PN harus mencari cara memenangi semula hati penyokong PAS jika mengekalkan wakil Bersatu, selain pengundi yang didakwa bimbang berulangnya episod peralihan sokongan seperti dibuat penyandangnya Mohd Azizi Abu Naim. “Perebutan kerusi di Nenggiri ini mungkin titik mula keretakan dalam PN khususnya di antara PAS dan Bersatu, kita lihat Harakah Daily (lidah rasmi PAS) pun secara terang-terangan siar (desakan PAS tanding Nenggiri). “Saya berpendapat desakan ini ingin tunjuk di Kelantan khususnya yang sebenarnya memenangkan parti itu adalah PAS bukannya Bersatu,” katanya kepada FMT. Sebelum ini, Yang Dipertua PAS Gua Musang Azman Ahmad menyerahkan tiga nama untuk dipertimbangkan sebagai calon PN untuk PRK Nenggiri 17 Ogos depan walaupun kerusi itu secara tradisinya ditandingi Bersatu selaku penyandang. Azman dipetik FMT berkata, pihaknya berharap calonnya dipertimbangkan dengan alasan kebimbangan pengundi episod peralihan sokongan berulang jika wakil Bersatu diletakkan, merujuk tindakan Azizi yang juga Ahli Parlimen Gua Musang menyokong Perdana Menteri Anwar Ibrahim.



No comments: