MERINDUI MCA DI SEBALIK KEANGKUHAN DAP ( MCA MACAM UMNO DULU-SEBAB TU ORANG TOLAK BN)


Apabila Pengerusi DAP, Lim Guan Eng menyerang Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek dengan memberi amaran – “kamu bukan Menteri Pendidikan Pas” – ia adalah suatu bentuk ancaman yang sangat menggambarkan sifat keangkuhan.


Apakah Guan Eng bermaksudkan oleh kerana Fadhlina merupakan “Menteri Pendidikan PH”, maka beliau kena ikut kemahuan DAP?


Sejak DAP berada di dalam kerajaan, ini bukanlah keangkuhan pertama yang ditunjukkan parti itu.


Sudah beberapa kali keangkuhan dipertontonkan kepada kita, antaranya ialah cubaan menyenaraikan kampung baru Cina sebagai tapak warisan Unesco dengan mengenepikan kampung Melayu yang lebih lama lagi kewujudannya.


Ketika MCA berada di dalam kerajaan, keangkuhan seperti ditunjukkan DAP sekarang ini tidak pernah kedengaran lantaran MCA lebih merupakan sebuah parti yang mempunyai sifat diplomasi, berjiwa damai serta tenang dalam berurusan sesama kerajaan.


Dalam isu derma untuk sekolah Cina, isunya mudah saja, terutama jika Guan Eng sedia berlapang dada dan menyimpan dalam almari di rumahnya keangkuhan DAP yang mentang-mentang memiliki paling banyak kerusi di kalangan semua parti dalam PH.


Tidak perlu sampai Guan Eng memberi peringatan – “kamu bukan Menteri Pendidikan Pas” kepada Fadhlina kerana penegasan yang ditunjukkannya dalam isu dermma sekolah adalah berdasarkan garis panduan sedia ada di Kementerian Pendidikan.


Siapa pun jadi menterinya, itulah garis panduan yang perlu dipatuhi.


Garis panduan tersebut dengan jelas melarang sekolah menerima dana daripada penjualan produk tembakau dan minuman beralkohol.


Dalam garis panduan yang sama, selain penglibatan pelajar Islam tidak dibenarkan, turut dilarang ialah memapar atau mempromosi minuman keras di dalam sekolah.


Pun begitu, Kementerian Pendidikan tetap menyediakan kelonggaran dengan memberi pertimbangan kepada sekolah vernakular untuk menerima sumbangan dana berkaitan minuman keras melalui Lembaga Pengelola Sekolah (LPS) dan yayasan seperti yang telah diamalkan sebelum ini, tetapi dengan syarat mematuhi segala larangan yang telah ditetapkan.


Apa yang susah sangat nak faham?


Dan kenapa kerana ketegasan Fadhlina mempertahankan garis panduan itu sampai Guan Eng perlu memperingatkannya – “kamu bukan Menteri Pendidikan Pas?”


Apa kaitan Pas dalam isu ini?


Isu arak dan judi adalah larangan dalam Islam, bukan dilarang oleh Pas semata-mata.


Larangan itu bukan saja untuk menjaga nama baik sekolah dan masa depan murid-murid, ia juga sesuai dengan kedudukan Islam sebagai agama persekutuan negara ini.


Yang pasti, melihat satu demi satu keangkuhan DAP ini tertonjol di depan mata, terutama bagi orang Melayu, rasa rindu mereka kepada gaya politik MCA yang mendamaikan dan harmoni tidak dapat dielakkan daripada muncul kembali.


Kepada parti-parti Melayu di negara ini, jika inginkan suasana politik yang tenang dalam kepelbagaian kaum serta agama sedia ada, mereka mestilah berusaha mulai sekarang untuk membantu MCA kembali kuat dan diterima oleh masyarakat Cina sebagaimana sebelum ini.


Jika tidak, bersedialah untuk sentiasa berkelahi atau memendam rasa sehingga sakit jiwa. – ShahbudinHusin 27July2024.


https://shahbudindotcom.net/2024/07/27/merindui-mca-di-sebalik-keangkuhan-dap.html



No comments: