KITA BUAT MASALAH, KEMUDIAN AMBIL TINDAKAN ORANG DULU SEBAGAI HUJAH!


Dzolkarnaik Abidin


1. Ada orang bawa kisah para imam dahulu bermubahalah dalam isu fiqh. Saya tak perlu sebut nama-nama imam itu. Mereka sudah pun wafat dan dikenang dengan doa yang baik untuk mereka sepanjang zaman. Allah meredhai mereka.


2. Adakah menjadi kewajipan untuk kita mencontohi mereka dalam mubahalah ini? Sedangkan situasi kita berbeza dengan situasi mereka. Pencapaian kita dalam ilmu pun tak setaraf mereka. Taqwa kita jauh sekali.


3. Oleh kerana mereka pernah bermubahalah dalam isu fiqh, kita pun anjurkan debat dan berselisih dalam isu fiqh atau apa saja isu untuk membolehkan kita bermubahalah. Alasannya, para imam dahulu pernah bermubahalah dalam isu fiqh. Apa salahnya kita bermubahalah?


Begitu?


4. Lantaran ada sahabat pernah berperang, kita pun mencari alasan untuk berperang sesama sendiri untuk mencontohi mereka? Ataupun, oleh kerana ada tentera yang menjulang al-Quran dalam peperangan pada zaman sahabat, kita pun mencari alasan untuk berperang untuk menjulang al-Quran seperti mereka?


5. Polemik antara kita, kita yang wujudkan. Kita yang kacau-bilaukan suasana. Kita yang kumpul kayu api dan bakar. Kemudian, kita pun mubahalah. Kita pun berkata, ulama dulu pun bermubahalah juga. 


Eh, apa ni? 


6. Sepatutnya kita mencari jalan mengelak situasi tidak harmoni. Bukan mewujudkan situasi tak harmoni, kemudian guna hujah agama untuk menghalalkan pelbagai aksi dalam situasi tak harmoni yang kita wujudkan itu.


7. Ini cara saya berfikir sahaja. Saya tak pandai nak bawa hujah ilmiah walaupun saya boleh kopipes hujah tu semua daripada pelbagai laman web. Hiduplah dengan keupayaan diri sendiri dan masa sendiri.