Oleh: Abdullah Zaid
Angkatan Muda KEADILAN (AMK)
Pulau Pinang menyelar sikap biadap oleh seorang ADUN Pas yang mendakwa Perdana
Menteri sebagai peliwat.
Ketuanya berkata, sikap tidak
bermoral ADUN Permatang Pasir, Amir Hamzah Abdul Hashim @ Md Hashim itu tidak
sepatutnya berlaku memandangkan beliau datang daripada parti berimej Islam.
"Tindakan tersebut
menunjukkan ketiadaan akhlak sekaligus mempamerkan ketidakmatangan yang
sepatutnya menjadi asas bagi seorang pemimpin yang kononnya dari parti Islam.
"Lebih menyedihkan apabila
seorang tokoh dan figura politik yang meletakkan nilai dan akhlak Islam sebagai
asas dan tonggak perjuangan memilih untuk merendahkan, menfitnah dan mengaibkan
martabat individu dengan tuduhan tanpa bukti yang kukuh dan asas," katanya
dalam satu kenyataan.
Untuk rekod, tular tangkap
layar pemimpin Pas itu mendakwa dalam satu ciapan mempersoal kesetiaan
penyokong kerajaan dengan menuduh Perdana Menteri sebagai peliwat.
Ciapan tersebut sekali gus
mengundang pelbagai kecaman dan kritikan warga maya termasuk ADUN Pantai
Jerejak, Fahmi Zainol.
Susulan itu, Fadzli menyarankan
agar pemimpin Pas itu meneliti semula karangan Presiden Pas Tan Sri Haji Hadi
Awang berkenaan tuduhan liwat itu.
"Ia sebagai satu usaha
untuk meningkatkan pemahaman tentang tuduhan qazaf yang dilemparkan terhadap
Datuk Seri Anwar Ibrahim," ujarnya.
Tegas Fadzli, pemimpin Pas itu
seharus mengeluarkan kenyataan maaf serta merta di atas keterlanjurannya
mengeluarkan tuduhan berkenaan.
"Kami juga menggesa beliau
untuk segera bertaubat dan tidak bermudah-mudahan dalam melemparkan tuduhan
qazaf terhadap seseorang tanpa pembuktian yang jelas dan nyata.
"Selain itu, kami juga
menasihatkan supaya beliau bergiat aktif dalam menjalankan tanggungjawab
seorang ADUN menyelesaikan permasalahan setempat dan rakyat di kawasan beliau
yang masih lagi menjadi persoalan, bukannya sibuk bermain api politik dan
permusuhan dengan menfitnah," ujarnya lagi.