Pang Sock Tao galas amanah Kerajaan Perpaduan pertahankan KKB



 


Oleh: Noraini Nordin



SOROTAN BERITA PRK KKB: Calon yang mewakili Kerajaan Perpaduan bagi PRK DUN Kuala Kubu Bharu diamanahkan kepada seorang wanita terpelajar yang memiliki personaliti menarik bernama Pang Sock Tao.



Calon dari parti DAP ini telah diumumkan namanya dalam satu majlis yang dihadiri ramai pimpinan pusat dari yang mewakili parti masing-masing.



Turut memeriahkan acara malam tadi di Kuala Kubu Bharu adalah jentera-jentera akar umbi dari seluruh negara.

Pang Sock Tao, Setiausaha Akhbar kepada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming adalah calon yang dipertaruhkan pada PRK DUN Kuala Kubu Bharu pada 11 Mei depan.



Dua perkara penting dapat dilihat dengan pengumuman Sock Tao sebagai calon menunjukkan DAP mengekalkan kerusi tersebut untuk kouta wanita, selain mempertahankan tradisi kerusi Kuala Kubu Bharu sebagai milik pemimpin kaum Cina sejak dahulu lagi.



Baik ketika MCA dan kemudian DAP memenangi Kuala Kubu Bharu sejak 2013, kerusi itu sentiasa disandang oleh pemimpin kaum Cina.



Tidak mudah berubah angin



Tindakan DAP mengekalkan tradisi itu memperlihatkan parti tersebut adalah parti yang berpendirian tetap dan tidak mudah berubah angin tanpa asas yang kukuh.



Sebagai negara majmuk yang memiliki pelbagai kaum dan agama, selari dengan Kerajaan Perpaduan juga begitu bentuknya, pendirian DAP dalam konteks PRK Kuala Kubu Bharu ini amatlah tepat sekali.



Ia memperlihatkan kecenderungan untuk mengekalkan keharmonian, kesepatan dan kestabilan yang selama ini sudah sedia terbentuk dan ingin terus dipertahankan.



Dengan ini, apa yang perlu diusahakan selepas ini ialah semua parti dalam Kerajaan Perpaduan sama-sama bekerja keras bagi memastikan kemenangan berjaya dipertahankan.



Dalam hal berkaitan, sesuai dengan komposisi pengundi Melayu adalah majoriti di Kuala Kubu Bharu iaitu 51 peratus berbanding Cina 30 peratus dan India 18 peratus, pendirian UMNO untuk menyokong sepenuhnya calon yang diketengahkan bagi mewakili PH juga amat dihargai.



Menyokong calon Kerajaan Perpaduan



Menurut Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Ahmad Maslan, pihaknya akan segera mengaktifkan 'war room' bagi membantu dan menyokong calon Kerajaan Perpaduan itu.

"UMNO juga akan melaksanakan kempen bagi membantu calon berkenaan dengan bersungguh-sungguh.



"Saya sendiri telah menemui Ketua UMNO Bahagian, Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian pada minggu lepas untuk mengaktifkan jentera UMNO.



"Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sendiri telah bertemu dengan Ketua-Ketua UMNO Cawangan dalam mesyuarat berkelompok pada Ahad lepas.



"Dua malam lepas misalnya, kita telah bertemu dengan parti-parti Kerajaan Perpaduan. Sudah dua kali kita adakan pertemuan, bererti UMNO menyokong sepenuhnya calon Kerajaan Perpaduan, calon Pakatan Harapan pada PRK DUN Kuala Kubu Bharu," katanya lagi.



Jika semua pihak bersatu hati dan bekerja keras, tiada sebab kemenangan di Kuala Kubu Bharu tidak boleh dikekalkan.

_________________________________________________________________________________

Penulis juga adalah Ketua Penerangan Wanita KEADILAN Pusat