Tiga pasukan petugas ditubuhkan tingkat semula ekonomi Labuan


 

Tiga pasukan petugas di bawah Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP) ditubuhkan sebagai usaha merancakkan ekonomi Labuan.



Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa berkata, pasukan petugas berkenaan akan menumpukan kepada pembangunan pelancongan, pembinaan jambatan Labuan-Menumbok, serta meningkatkan aktiviti pemindahan kargo kapal ke kapal.



"Diterajui Ketua Pengarah JWP dan Timbalannya serta melibatkan penyertaan pihak berkepentingan, pasukan petugas ini telah mengadakan mesyuarat pertamanya.



"Kami komited untuk melaksanakan strategi tindakan dengan segera, manakala inisiatif utama seperti pembinaan jambatan Labuan-Menumbok akan dikemukakan untuk perhatian Perdana Menteri," katanya dipetik pada sidang media di Labuan pada Ahad.



Terdahulu Dr Zaliha hadir mendengar taklimat pengendalian Labuan Liberty Port oleh pengendali pelabuhan itu, Megah Port Management Sdn Bhd.



Sementara itu beliau turut melahirkan keyakinan masa depan pulau bebas cukai itu akan bertambah baik susulan wilayah itu kini sering menerima lawatan Menteri Kabinet.



Pada sidang media itu, Dr Zaliha turut menyatakan komitmen bagi memacu sektor pelancongan Labuan termasuk penambahbaikan terhadap acara pelancongan terkenal iaitu Labuan International Sea Challenge (LISC).

 

No comments: