Kerajaan Selangor telah
melaksanakan program latihan kemahiran TVET dan peningkatan skil bagi
membolehkan graduan teknikal memperolehi kerjaya berpendapatan tinggi.
Hal itu dinyatakan oleh Menteri
Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari di Ekspo Pendidikan TVET dan Kerjaya
Beruniform di Petaling Jaya pagi tadi.
Menurut Amirudin, peningkatan
skil dan latihan TVET merupakan salah satu manifesto utama pilihan raya negeri
Pakatan Harapan menerusi janji "5 tekad 5 tahun" untuk menghasilkan
100,000 pekerjaan berpendapatan tinggi.
"(Hal) itu yang kita buat
dan kita cuba pastikan untuk memperbaiki eko-sistem kita, teknikal dan
vokasional untuk memastikan kita boleh mencapai dan dapatkan palajar terbaik
dan jadikan mereka pekerja berskil tinggi dan tawarkan mereka pekerjaan
berpendapatan tinggi.
"Terdapat banyak sektor
elektrik, elektronik, bio-teknologi, aero-angkasa dan berasaskan rel di
Selangor.
"Kita terus berkomunikasi
dengan industri, apa sektor yang perlukan dimasukkan, jenis skil, tranformasi,
digitalisasi juga industri IR 4.0," katanya kepada pemberita selepas
merasmikan ekspo.
Kata Amirudin, pendidikan yang
mempunyai rantaian langsung dengan pihak industri telah dimulakan di Selangor
yang mana mesin industri teknologi terkini dipinjamkan dari kilang pelabur luar
untuk digunakan di institut latihan pelajar TVET.
Pelajar yang dilatih dalam
setahun dan mahir dalam pengendalian mesin berkenaan, katanya, kemudian
ditawarkan berkerja kepada industri besar dengan gaji yang lumayan.
"Kita nak lengkapkan
kesemua eko-sistem (latihan TVET). Selepas ini kita nak tengok pembinaan modul.
Modul itu akan dibuat oleh pensyarah kita agar boleh maching (latihan dan
keperluan industri).
"Selepas itu kita akan
masuk ke sekolah sekolah supaya boleh membentuk pelajar tingkatan 3 hingga 5 ke
arah bidang apa," katanya lagi.
Tambah Amirduin, peringkat
seterusnya agensi Kerajaan Negeri akan menjadi pelengkap kepada usaha
pelaksanaan pelan latihan kemahiran kebangsaan yang dilaksanakan di bawah
Kerajaan Persekutuan.
Katanya, Selangor akan
menyediakan industri dalam jalinan kerjasama untuk dirangkaikan dengan sekolah
agar keperluan latihan dan modul lebih berasaskan keperluan sebenar industri
untuk memudahkan para guru menyediakan murid murid yang sesuai mengikuti bidang
kemahiran yang diperlukan.
Ekspo selama 2 hari itu
menyaksikan sebanyak 30 booth pameran disediakan untuk orang ramai mengetahui
latihan TVET yang disediakan. Juga terdapat booth dari jabatan beruniform
seperti imigresen, kastam dan sebagainya.