Latihan TVET atau kemahiran
teknikal industri menjanjikan masa hadapan yang cerah kepada anak muda
Malaysia.
Ahli Dewan Negeri Sentosa, Dr
Gunaraj George berkata, anak muda dari keluarga berpendapatan rendah
terutamanya harus meneroka peluang latihan TVET bagi merobah kehidupan mereka
pada masa akan datang dengan memperolehi tawaran pekerjaan berpendapatan
tinggi.
"Saya secara peribadi
beritahu untuk golongan berpendapatan rendah, sekarang Kerajaan Madani
peruntukkan RM6.8 bilion kepada kementerian tertentu untuk laksanakan program
TVET.
"Program ini dilaksanakan
percuma (latihan). Apa yang mereka (peserta perlu) bayar setahun tak sampai
RM1,200. Itu pun ada yang datang ke pejabat Pusat Khidmat DUN Sentosa (untuk
dapat bantuan). Kita bantu. Tetapi pastikan pendidikan tenaga mahir sampai
untuk anak anak kita.
"Kerajaan sekarang
perlukan tenaga mahir. Jadi tak perlu kita bergantung kepada warga asing. Ini
satu agenda kerajaan yang cukup baik, semua kena mainkan peranan untuk pastikan
agenda ini berjaya," katanya kepada pemberita usai majlis perasmian Ekspo
Pendidikan TVET dan Kerjaya Beruniform di Petaling Jaya pagi tadi.
Dr Gunaraj yang merupakan
antara pihak yang menjayakan ekspo berkenaan turut mengucapkan penghargaan
kepada pelbagai pihak yang memberi sokongan padu untuk menjayakan program dua
hari berkenaan.
Katanya, beliau teruja dengan
30 sekolah dari seluruh Selangor yang menghantar berbas bas pelajar untuk
mengikuti ekspo berkenaan. Juga NGO yang menghantar anak muda bagi membuka
minda mereka dalam peri pentingnya latihan TVET.
"Kehadiran pagi ini lebih
1,200. Untuk dua hari kita jangka lebih 3,000 orang anak muda hadir.
"Saya ucap terima kasih
kepada NGO yang hantar pemuda untuk dapat pendedahan pentingnya TVET membentuk
tenaga mahir ini," katanya.