DD Chronicle: AMK buat laporan polis pempengaruh hina mahkamah





Oleh: Abdullah Zaid



Angkatan Muda Keadilan (AMK) Selangor membuat laporan polis hari ini terhadap pempengaruh Perikatan Nasional (PN) yang memuat naik hantaran provokasi mendakwa undang-undang Islam sudah dimansuhkan di negara ini.



Ketua AMK Selangor, Muhammad Izuan Kasim (gambar atas) berkata laporan polis terhadap Dediy Sulaeman Ra’e, 44, atau lebih dikenali DD Chronicle itu kerana beliau jelas menghina keputusan Mahkamah Persekutuan yang membatalkan 16 peruntukan kesalahan di bawah Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019.



Oleh itu, Izuan yang juga Ahli Dewan Negeri (ADUN) Kota Damansara menyifatkan satira sinis yang dibuat Dediy Sulaeman wajar dikenakan tindakan undang-undang.



"Apa yang diucapkan oleh pempengaruh itu dikategorikan sebagai ‘contempt of court’ atau menghina mahkamah.



"Ia jelas satu jenayah dan perlu diambil tindakan agar masyarakat luar tidak terpengaruh dengan budaya sebegini," katanya dalam sidang media selepas membuat laporan polis di IPD Ampang, petang ini.



Sementara itu, Ketua AMK Ampang Iman Haziq Mohd Hamizi pula berkata, laporan polis yang digerakkan di seluruh Malaysia adalah usaha sayap KEADILAN mempertahankan prinsip perundangan negara.

Ampang Iman Haziq Mohd Hamizi



Tegasnya AMK tidak akan bertolak ansur terhadap mana-mana individu yang cuba memainkan isu 3R (agama, bangsa dan Institusi Diraja) bagi memecah belahkan keharmonian di negara ini.



"Laporan polis dibuat di seluruh negara dan AMK Selangor memilih di Ampang Jaya, justeru kita harap pihak berkuasa mengambil tindakan tegas supaya perkara sebegini tidak berlaku.



"Kita berharap kepada pempengaruh lain untuk gunakan platform sosial media sebaik mungkin untuk kita memberi imput baik kepada orang awam dan bukan sebaliknya," ujarnya.



Terdahulu, DD Chronicle dalam video berdurasi 3 minit 55 saat itu mendakwa kesalahan pengambilan minuman keras, berjudi dan meliwat di kalangan orang Islam tidak lagi menjadi suatu kesalahan susulan keputusan Mahkamah Persekutuan minggu lalu.



Tindakan pempengaruh itu dilihat memperlekehkan keputusan para hakim Mahkamah Persekutuan dan tidak menghormati semangat Rukun Negara selain dilihat mempermainkan hukum syarak.



Beliau sebelum ini yang dikenali menerusi video parodi, termasuklah memperleceh gabungan perpaduan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) serta menyuarakan sokongan kepada PN.