Oleh: Abdullah Zaid
Angkatan Muda Keadilan (AMK)
Selangor membuat laporan polis hari ini terhadap pempengaruh Perikatan Nasional
(PN) yang memuat naik hantaran provokasi mendakwa undang-undang Islam sudah
dimansuhkan di negara ini.
Ketua AMK Selangor, Muhammad
Izuan Kasim (gambar atas) berkata laporan polis terhadap Dediy Sulaeman Ra’e, 44, atau
lebih dikenali DD Chronicle itu kerana beliau jelas menghina keputusan Mahkamah
Persekutuan yang membatalkan 16 peruntukan kesalahan di bawah Enakmen Kanun
Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019.
Oleh itu, Izuan yang juga Ahli
Dewan Negeri (ADUN) Kota Damansara menyifatkan satira sinis yang dibuat Dediy
Sulaeman wajar dikenakan tindakan undang-undang.
"Apa yang diucapkan oleh
pempengaruh itu dikategorikan sebagai ‘contempt of court’ atau menghina mahkamah.
"Ia jelas satu jenayah dan
perlu diambil tindakan agar masyarakat luar tidak terpengaruh dengan budaya
sebegini," katanya dalam sidang media selepas membuat laporan polis di IPD
Ampang, petang ini.
Sementara itu, Ketua AMK Ampang
Iman Haziq Mohd Hamizi pula berkata, laporan polis yang digerakkan di seluruh
Malaysia adalah usaha sayap KEADILAN mempertahankan prinsip perundangan negara.
Ampang Iman Haziq Mohd Hamizi
Tegasnya AMK tidak akan
bertolak ansur terhadap mana-mana individu yang cuba memainkan isu 3R (agama,
bangsa dan Institusi Diraja) bagi memecah belahkan keharmonian di negara ini.
"Laporan polis dibuat di
seluruh negara dan AMK Selangor memilih di Ampang Jaya, justeru kita harap
pihak berkuasa mengambil tindakan tegas supaya perkara sebegini tidak berlaku.
"Kita berharap kepada
pempengaruh lain untuk gunakan platform sosial media sebaik mungkin untuk kita
memberi imput baik kepada orang awam dan bukan sebaliknya," ujarnya.
Terdahulu, DD Chronicle dalam
video berdurasi 3 minit 55 saat itu mendakwa kesalahan pengambilan minuman
keras, berjudi dan meliwat di kalangan orang Islam tidak lagi menjadi suatu
kesalahan susulan keputusan Mahkamah Persekutuan minggu lalu.
Tindakan pempengaruh itu
dilihat memperlekehkan keputusan para hakim Mahkamah Persekutuan dan tidak
menghormati semangat Rukun Negara selain dilihat mempermainkan hukum syarak.
Beliau sebelum ini yang
dikenali menerusi video parodi, termasuklah memperleceh gabungan perpaduan
Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) serta menyuarakan sokongan
kepada PN.